X

Kindly register in order to view this article
!

Pengeluaran minyak sawit dunia diunjur pulih, Malaysia susut 500,000 tan: Pakar

A
A

KUALA LUMPUR - Pengeluaran minyak sawit dunia dijangka meningkat semula sebanyak 3.2 juta tan bagi musim Oktober 2020 hingga September 2021, manakala pengeluaran di Malaysia diunjur susut 500,000 tan, kata Pengarah Eksekutif Oil World, Thomas Mielke.

Selain itu, pengeluaran di Indonesia pula dijangka menokok 3.3 juta tan.

Berikutan itu, beliau yang juga pakar komoditi berkata, bekalan minyak sawit global diunjur terus terhad dan mengekang penurunan harga bagi tempoh berbaki tahun ini.

“Sekiranya pengeluaran minyak bijian global kembali meningkat, harga minyak sawit bagi tahun ini berkemungkinan besar lebih lemah daripada paras semasa walaupun masih di paras tinggi.

“Malah, faktor-faktor positif telah diambil kira dan ada kemungkinan harga komoditi ini berdepan tekanan pada tempoh April-Jun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi di hari kedua Persidangan dan Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC) 2021 secara maya di sini pada Rabu.

Sementara itu, Pengerusi LMC International, James Fry berkata, penanda aras harga minyak sawit di Malaysia berkemungkinan susut kepada RM3,300 satu tan menjelang suku keempat tahun ini apabila pemulihan pengeluaran itu secara beransur-ansur mendorong usaha peningkatan stok simpanan.

“Keadaan pengeluaran rendah di peringkat dunia sebaliknya mencetuskan masalah besar bagi usaha pembekalan minyak ini.

“Bekalan yang terhad itu juga disebabkan oleh kegagalan kerajaan-kerajaan untuk mengurangkan mandat biobahan api buat sementara waktu bagi meredakan permintaan (tidak sepertimana yang berlaku pada 2016-2017) selain menjejaskan pasaran yang memberangsangkan,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!