X

Kindly register in order to view this article
!

Selesai isu kalimah ALLAH secara menyeluruh

Mohd Zawawi
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor berharap isu kalimah ALLAH dalam Bible (terjemahan bahasa Melayu) dapat diselesaikan secara menyeluruh dan mencegah daripada kesangsian seperti konsep jamie’ manie’.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, penegasan kerajaan itu adalah selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa.

Menurutnya dalam satu kenyataan pada Rabu, kalimah atau perkataan ALLAH bukan nama am yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja kerana mempunyai makna dan definisi tersendiri.

“Kalimah ALLAH bukan kata umum tanpa makna kerana jika diberi makna selain definisinya akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius.

“Bagi Melayu-Muslim, khususnya di Selangor, sejak mula kalimah ALLAH digunakan, ia sudah tersedia padu dengan definisi yang mantap dan muktamad,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Zawawi berkata, kerajaan negeri bersetuju dengan titah Sultan Sharafuddin dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang meminta kerajaan Persekutuan meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.Ujarnya, kerajaan negeri turut menyokong penuh titah baginda supaya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memohon kepada mahkamah sebagai pihak pencelah dalam rayuan tersebut.

“Semoga langkah MAIS akan dituruti oleh Majlis Agama Islam negeri lain bagi memelihara kemuliaan kalimah ALLAH dan kesucian agama Islam,” katanya.

Pada Selasa, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa sebarang penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible terjemahan bahasa Melayu atau penerbitan tulisan agama Kristian adalah dilarang di negeri ini.

Baginda mengulangi pendirian berkenaan kerana kalimah ALLAH adalah sesuatu yang suci bagi umat Islam dan hanya boleh digunakan merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!