Luqman tak kisah dicemuh

Luqman Hakim giat menjalani latihan pusat skuad Harimau Malaya di Pusat Latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Johor Bahru pada Rabu.
Luqman Hakim giat menjalani latihan pusat skuad Harimau Malaya di Pusat Latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak kisah cemuhan yang dilontarkan sesetengah pihak yang menyifatkan dirinya belum sedia dan masih terlalu awal untuk beraksi bersama skuad senior kebangsaan.

Menurutnya, faktor umur yang masih muda bukanlah penghalang untuknya mempamerkan kemampuan di pentas tertinggi bersama pasukan kebangsaan.

"Orang di luar sana nak cakap apa, cakaplah saya tidak kisah. Dalam dunia ini biasalah ada yang tidak bersetuju. Perkara umur ini bukanlah sesuatu yang penting. Kalau kita boleh bermain dan beradaptasi dalam perlawanan, maka ia tidak akan menjadi masalah.

"Kalau seseorang pemain itu bagus, tak kira lah dia pemain berusia 19 tahun sekalipun tak ada masalah. Terpulang kepada jurulatih. Jika jurulatih nampak boleh membantu pasukan maka jurulatih akan pilih. Bagi saya umur tidak menghalang dan saya akan buktikan kematangan dalam perlawanan dan latihan," katanya dalam sidang video bersama media pada Rabu.

Sebelum ini, Luqman yang kini beraksi bersama kelab Liga Belgium, KV Kortrijk dinilai masih belum layak untuk mewakili skuad kebangsaan atas faktor umur selepas dipanggil oleh pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan pertama bermula 22 hingga 30 Mac ini.

Mengulas lanjut, Luqman Hakim akan memberikan yang terbaik dalam sesi latihan skuad kebangsaan kali ini bagi memastikan namanya akan disenaraikan dalam senarai akhir Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun ini.

"Walaupun tiada aksi persahabatan untuk saya menunjukkan kemampuan saya, namun saya berjanji akan beri 100 peratus dalam sesi latihan untuk memastikan saya dipilih dalam aksi kelayakan nanti.

"Mungkin ada rezeki untuk saya terpilih ataupun mungkin tidak terpilih. Apa yang paling penting saya perlu berikan yang terbaik dalam sesi latihan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Luqman Hakim juga mengakui tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan kebangsaan selain teruja disenarai dalam latihan kem pusat kali ini.

"Pengalaman saya sepanjang latihan dalam tiga hari ini sangat seronok. Saya meletakkan diri saya sebagai seorang pemain muda dalam skuad senior kebangsaan dan saya mahu mencari pengalaman yang banyak di sini.

"Walaupun saya mungkin bermain di kelab luar negara, tetapi sudah tentu pemain lain dalam pasukan lebih banyak pengalaman daripada saya dan saya mahu belajar daripada mereka," katanya.