Indeks Pelopor catat peningkatan

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan Indeks Pelopor (IP) pada Januari lepas merekodkan peningkatan apabila mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.2 peratus iaitu 110.0 mata berbanding 101.7 mata pada Januari 2020.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan tersebut disokong oleh peningkatan berterusan dalam Indeks Perusahaan Bursa Malaysia yang disumbangkan oleh Indeks Penjagaan Kesihatan serta Indeks Pengangkutan dan Logistik.

“IP menunjukkan peningkatan 0.7 peratus berdasarkan perbandingan bulanan. Pertumbuhan ini disumbangkan terutamanya oleh Jangkaan Nilai Jualan di sektor Pembuatan (0.7 peratus),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Uzir berkata, kadar pertumbuhan IP terlicin kekal di atas trend yang menunjukkan bahawa prospek ekonomi Malaysia jangka pendek kekal optimis selari dengan inokulasi vaksin.

Malah, katanya, langkah-langkah pengekangan ekonomi yang semakin mereda meningkatkan harapan untuk mengawal kesan terhadap ekonomi.

Bagaimanapun, beliau berkata, Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi ekonomi semasa menurun 0.4 peratus untuk mencapai 111.0 mata pada Januari lepas berbanding 111.4 mata pada bulan sebelumnya.

Menurutnya, ia berikutan penurunan yang signifikan dalam nilai caruman benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu -0.5 peratus.

“Selain itu, prestasi IS yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa perlahan kepada pertumbuhan tahunan negatif 2.2 peratus pada Januari 2021 daripada negatif 1.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

“Penurunan ini mencerminkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tiga peringkat bermula pada 13 Januari lepas sebagai tindakan yang tegas untuk memutuskan rangkaian jangkitan dan penularan Covid-19,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memaklumkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara bersemuka dan dalam talian (e-Census) sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga 30 Jun ini.

“Semua penduduk Malaysia diminta memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana data anda masa depan kita,” katanya.