DBKL bina semula bangunan baharu Pasar Datuk Keramat

Annuar bertemu penjaja yang terlibat kebakaran deretan kedai Pasar Datuk Keramat.
Annuar bertemu penjaja yang terlibat kebakaran deretan kedai Pasar Datuk Keramat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membina semula bangunan baharu di tapak niaga Pasar Datuk Keramat yang terbakar pada 17 Mac lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, projek itu akan dijalankan selepas Hari Raya Aidilfitri bagi memberi laluan tapak sama digunakan untuk operasi bazar Ramadan.

"Cadangan kita adalah untuk merobohkan segera struktur bangunan terbakar supaya boleh dilakukan kerja serta-merta untuk menyiapkan tapak baharu.

"Bangunan tersebut adalah separa kekal yang akan digunakan dalam tempoh enam tahun. Bangunan itu akan digunakan sementara menunggu projek pembangunan semula Pasar Datuk Keramat dilaksanakan seperti perjanjian yang ditandatangan dengan sebuah syarikat swasta pada 2017," katanya pada perjumpaan bersama penjaja Pasar Datuk Keramat di Dewan Kompleks Sukan Datuk Keramat pada Rabu.

Dalam kejadian 17 Mac lalu, hampir 50 peniaga terlibat dalam kebakaran yang memusnahkan deretan kedai di Pasar Datuk Keramat.

Annuar mendengar pertanyaan seorang penjaja yang terlibat dalam insiden kebakaran melibatkan hampir 50 kedai Pasar Datuk Keramat.
Annuar mendengar pertanyaan seorang penjaja yang terlibat dalam insiden kebakaran melibatkan hampir 50 kedai Pasar Datuk Keramat.

Annuar berkata, selepas perobohan bangunan selesai, satu khemah besar akan disediakan yang dijangka mampu memuatkan 45 peniaga bazar Ramadan dengan setiap petak berkeluasan 100 kaki persegi.

Beliau berkata, khemah tersebut kemudian akan dibersihkan selepas Ramadan bagi memberi laluan kepada projek bangunan pasar dimulakan.

Artikel Berkaitan:

"Kita minta projek disiapkan tak lebih empat bulan, pemaju boleh buat persediaan daripada sekarang. Lepas habis Ramadan, mereka boleh terus mulakan kerja.

"Dalam tempoh pembinaan, jika ada peniaga jumpa tempat berniaga di lokasi lain, kita akan pertimbangkan serta bantu mempermudahkan urusan," katanya.

Mengikut perancangan Pasar Datuk Keramat akan dibangunkan semula, namun setakat ini belum ada sebarang permulaan kerja dilaksanakan atas beberapa sebab.

Kaedah yang diputuskan untuk pembangunan tersebut adalah penyediaan penempatan baharu kepada penghuni di Flat Sri Perlis 1 sebelum tapak pangsapuri tersebut diruntuhkan untuk dibina tapak pasar baharu yang tempohnya mengambil masa enam tahun.