Bazar Ramadan di Ipoh perkenal bayaran tanpa tunai

Rumaizi. Foto MBI
Rumaizi. Foto MBI
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memperkenalkan bayaran tanpa tunai di hampir semua lokasi bazar Ramadan di bawah seliaan mereka pada tahun ini dengan kerjasama Maybank Berhad.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sebanyak 25 lokasi bazar akan dibuka sepanjang bulan Ramadan tahun ini melibatkan sebanyak 1,065 lot petak niaga.

Beliau berkata, bazar Ramadan kali ini berlangsung dengan norma baharu melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Antara SOP ditetapkan termasuk penjarakan fizikal antara satu petak niaga sejauh tiga meter, penguatkuasaan pemakaian pelitup muka dan sarung tangan dalam kalangan penjaja.

"Setiap lokasi bazar Ramadan diwajibkan menyediakan peralatan pengimbas suhu badan, kod QR, pensanitasi tangan dan lain-lain yang diwajibkan di pintu masuk lokasi setiap bazar Ramadan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Rumaizi berkata, bagi meraikan norma baharu itu, pengunjung dan peniaga bazar Ramadan digalakkan untuk menggunakan aplikasi e-dompet sejajar dengan hasrat MBI ke arah bandar raya pintar.

Sementara itu, beliau berkata, penganjuran bazar Ramadan sebelum ini diurus dan dikawal selia oleh Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Perbandaran MBI.

Bagaimanapun, katanya, sejak tahun 2016, penganjuran bazar Ramadan diserahkan sepenuhnya kepada penganjur yang dilantik terdiri daripada kalangan persatuan penjaja, jawatankuasa pentadbiran masjid dan surau, koperasi peniaga serta jawatankuasa Rukun Tetangga.

Artikel Berkaitan:

"Kadar lesen yang ditetapkan ialah sebanyak RM40 bagi setiap petak untuk seorang penjaja. Pihak penganjur dibenarkan mengenakan kadar caj maksimum sebanyak RM750 kepada setiap penjaja merangkumi bayaran khemah, bayaran lesen dan bayaran caj pembersihan," katanya.

Beliau berkata, semua penjaja dikehendaki menjelaskan bayaran lesen kepada MBI, manakala untuk lain-lain bayaran diuruskan secara terus kepada pihak penganjur.

Rumaizi berkata, Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran bersama Jabatan Pelesenan dan Penguat kuasa MBI akan memantau aktiviti bazar Ramadan itu dari semasa ke semasa.