107,000 individu hilang kerja dibantu: Tengku Zafrul

Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 107,000 individu yang kehilangan pekerjaan pada 2020 menerima bantuan Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM366.37 juta.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat 14 Mac 2021 pula, Perkeso telah membantu lebih 18,000 pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM85.96 juta.

“Jumlah ini adalah termasuk penambahbaikan Elaun Mencari Pekerjaan yang telah diumumkan di bawah Belanjawan 2021,” katanya ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-46 menerusi laman Facebook beliau pada Rabu.

Menurut Tengku Zafrul, bagi Elaun Khas Barisan Hadapan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), sebanyak RM565.4 juta telah disalurkan untuk 1.65 juta tuntutan kakitangan perubatan seperti doktor dan jururawat yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak Covid-19, setakat 12 Mac lalu.

Katanya, elaun khas itu juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, Angkatan Pertahanan Awam serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PermaiI) setakat 15 Jan lalu, pengambilan seramai 3,591 petugas kesihatan kontrak telah diluluskan untuk menampung keperluan perkhidmatan yang mendesak susulan peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh sama, seramai 2,586 petugas kesihatan yang meliputi skim perkhidmatan Pegawai Sains, Juru X-ray Diagnostik, Juruteknologi Makmal Perubatan, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat selesai dilantik.

Katanya, baki 1,005 petugas kesihatan kontrak masih dalam proses saringan dan dijangka selesai pada hujung bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Menteri Kewangan itu turut memaklumkan seramai 137,075 peserta program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran diluluskan setakat 12 Mac lalu.

Katanya, bagi inisiatif Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya (Cendana) untuk industri kreatif pula, sebanyak RM2.16 juta telah disalurkan kepada 393 penerima dalam kalangan seniman dan organisasi yang terlibat aktif dalam sektor seni dan budaya Malaysia setakat ini.