Ahli perniagaan mengaku tak salah tipu lebih RM16 juta

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Rabu atas lima pertuduhan memperdaya seorang pengarah syarikat rokok sehingga mengalami kerugian lebih RM16 juta pada 2019.

Tertuduh Chan Eng Leong, 47, dari Bayan Lepas Pulau Pinang mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan dua hakim Mahkamah Sesyen, Norhayati Mohamad Yunus dan Noor Aini Yusof.

Di hadapan Norhayati, tertuduh didakwa dengan tiga pertuduhan menipu seorang Pengarah Syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn Bhd, Goh Choon Kim, 60, dengan memperdaya mangsa bahawa dia boleh menyelesaikan kes cukai rokok dengan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan mengelakkan akaun syarikat mangsa daripada dibekukan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di alamat No 3406, Tingkat 5, Jalan Machang Bubuk 2, Kelab Rekreasi Tropika Bukit Mertajam dan No 1762, Jalan Bukit Teh, Machang Bubuk antara 12 September hingga 1 Oktober 2019.

Chan didakwa secara curangnya mendorong pengarah syarikat itu menyerahkan wang keseluruhannya berjumlah RM5,475,150 melalui cek dan pindahan telegraf membabitkan tiga bank berbeza kepadanya.

Sementara itu, di hadapan Noor Aini, Eng Leong didakwa memperdaya pengarah berkenaan supaya mangsa mempercayai bahawa pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja akan datang membuat serbuan serta rampasan dan sitaan wang tunai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 berhubung dengan penguatkuasaan dan siasatan kes cukai serta eksais rokok.

Eng Leong didakwa secara curangnya mendorong pengarah syarikat itu menyerahkan wang berjumlah 11,098,860 kepadanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di alamat No 2, Lorong Berjaya Indah 5, Taman Berjaya Indah dan No 2, 1762 Jalan Bukit Teh, Machang Bubuk di Bukit Mertajam antara 11 April hingga 21 November, 2019.

Artikel Berkaitan:

Kelima-lima kesalahan itu dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Rani Kasim manakala tertuduh diwakili peguam RSN Rayer.

Norhayati membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin manakala Noor Aini membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua hakim turut mengenakan syarat tambahan yang memerlukan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga perbicaraan kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes. - Bernama