TAPS bantu tingkat bekalan air, stabil paras air sungai

Muhammad Sanusi (tengah) menyerahkan cek kepada penerima skim pinjaman khas dalam Majlis Penyerahan Mock Cheque Skim Pinjaman Mikro Kredit Sejahtera Covid-19 di Kedah di Wisma Darul Aman, pada Rabu.
Muhammad Sanusi (tengah) menyerahkan cek kepada penerima skim pinjaman khas dalam Majlis Penyerahan Mock Cheque Skim Pinjaman Mikro Kredit Sejahtera Covid-19 di Kedah di Wisma Darul Aman, pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang menakung lebihan air di Sungai Muda akan mula dibangunkan tahun ini.

Projek yang mendapat peruntukan daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) itu bertujuan meningkatkan bekalan air di Kedah dan menstabilkan paras air di sungai tersebut ketika musim kemarau.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan telah mengenalpasti kontraktor sesuai untuk TAPS yang dilihat mampu menjadi sumber pengairan pertanian selain kegunaan harian.

"Stesen pintu kawalan air (baraj) baharu bakal dibina untuk menstabilkan paras air Sungai Muda bagi memastikan pam Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak tergantung terutamanya ketika kemarau akibat kekurangan air.

“Sekarang pam tergantung disebabkan sungai dilebarkan dalam projek tebatan banjir dahulu tidak disekalikan dengan menjajarkan kedudukan pam di rumah pam sepanjang Sungai Muda,"katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, bagaimanapun masalah pam tergantung akan selesai apabila kapasiti pengaliran air sungai tersebut boleh dikawal dengan menstabilkan paras Sungai Muda.

Menurut beliau, paras air perlu stabil bukan hanya untuk keperluan penduduk malah aktiviti pertanian bagi memastikan ia tidak menjejaskan bekalan padi negara Kedah yang membekalkan 42 peratus padi untuk Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi menegaskan kenyataannya bahawa Pulau Pinang mungkin terpaksa menggunakan air selut sekiranya enggan membayar caj air mentah bukanlah satu ugutan, sebaliknya niat baik supaya negeri berkenaan bersedia.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak 14 takungan besar sedalam 20 hingga 30 meter (m) dengan lebar satu kilometer (km) akan dibangunkan untuk menakung air Sungai Muda menerusi TAPS.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi memberitahu, pihaknya berharap Pulau Pinang bersedia dengan keadaan berkenaan memandangkan Kedah akan melaksanakan TAPS tidak lama lagi.

Bagaimanapun katanya, perkara berkenaan dalam dielakkan sekiranya Pulau Pinang bekerjasama dengan Kedah membuat bayaran caj air mentah seperti diminta.

"Kita kena kena rancang untuk elakkan mereka minum lumpur, bagaimanapun jikalau mereka tidak mahu berpakat dan membuat bayaran itu, maka kita rancang untuk negeri kita sahajalah," katanya.

Muhammad Sanis menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah sesekali menutup pintu rundingan dengan Pulau Pinang dalam isu bekalan air malah mengalu-alukan perbincangan dari Pulau Pinang.

"Kita sentiasa mahu berunding mengenai kadar bayaran air mentah dengan Pulau Pinang dan bersedia memberi air. Bagaimanapun mereka perlu membayar kerana kita juga menanggung kos penyelenggaraan," katanya.

Beliau sebelum itu menyempurnakan Majlis Penyerahan Mock Cheque Skim Pinjaman Mikro Kredit Sejahtera Covid-19 di Kedah dengan menyerahkan cek kepada beberapa penerima.

Menurutnya, kerajaan negeri melaksanakan skim melalui Unit Pembangunan Usahawan Kedah Bahagian Perancangan Ekonom Kedah dengan peruntukan sebanyak RM2 juta demi membantu usahawan terjejas pandemik.

Katanya, skim pinjaman khas diperluaskan merangkumi penghantar makan berbanding peniaga sebelum ini dan dilonggarkan syarat sepert had umur peminjam dinaikkan dari 55 kepada 60 tahun, caj perkhidmatan dikurangkan dari RM20 kepada RM10, tempoh bayaran baik dipanjangkan dari tiga tahun kepada lima tahun dan bayaran insurans dimansuhkan.