'Hanya benar pelanggan tetap masuk'

Antara barang yang dirampas dalam serbuan Ops Dadu di Subang Jaya, Selangor pada Selasa.
Antara barang yang dirampas dalam serbuan Ops Dadu di Subang Jaya, Selangor pada Selasa.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis membongkar kegiatan perjudian dalam talian menerusi serbuan di dua premis di Jalan Pinggiran USJ di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, serbuan Ops Dadu kira-kira jam 11.30 malam itu menahan 16 lelaki berusia 25 hingga 66 tahun.

"Siasatan mendapati tiga lelaki warga Bangladesh yang ditahan itu adalah penjaga premis, manakala selebihnya iaitu 12 warga tempatan dan seorang warga Myanmar adalah pemain.

"Serbuan bertindak merampas 16 komputer, empat modem serta wang tunai," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya percaya kedua-dua premis itu beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja masuk.

Katanya, bagi memastikan premis sukar dikesan pihak berkuasa, sindiket turut memasang kamera litar tertutup (CCTV).

"Kita percaya premis itu kerap berpindah-randah bagi menyukarkan dikesan pihak polis," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Artikel Berkaitan: