Mufti Johor akan jadi pemerhati prosiding rayuan kalimah ALLAH

Tosrin
Tosrin
A
A
A

KULAI - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan menjadi pemerhati dalam prosiding rayuan berhubung isu kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam.

Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, tindakan menjadi pemerhati itu dibuat sebagai tanda menyokong usaha kerajaan Persekutuan yang menfailkan rayuan berhubung kes berkenaan.

“Isu ini telah dibawa dalam Jabatan Fatwa Negeri Johor. Kita sedang menunggu proses rayuan berhubung isu itu daripada kerajaan Persekutuan.

“Kemungkinan besar JAINJ akan memohon untuk menjadi pemerhati dalam prosiding. Ia diketuai Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad. JAINJ sedia membantu mana-mana pihak di peringkat Persekutuan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dalam hal ini," katanya pada sidang akhbar Majlis Penyampaian Bantuan Amal Jariah Perbadanan Islam (PIJ) berupa cecair pembasmi kuman dan kertas A4 kepada 98 sekolah di daerah Kulai di Dewan Felda Taib Andak di sini pada Rabu.

Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor, penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan.

"Buat masa ini saya minta umat Islam bersabar dan menunggu keputusan rayuan yang dibuat kerajaan Persekutuan. Jangan buat sebarang keputusan dan penilaian yang salah kerana isu ini menyentuh sensitiviti kaum," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan fail rayuan keputusan kes kalimah ALLAH

Pada 15 Mac lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH serta tiga perkataan bahasa Arab dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

Notis rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Pada 18 Mac lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan dukacita dengan isu penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam.

Menerusi hantaran di Facebook, Sultan Ibrahim bertitah, selaku Ketua Agama Islam negeri Johor, baginda menyeru kerajaan Persekutuan meneruskan rayuan dalam prosiding berkenaan.