19 nelayan Vietnam ditahan curi hasil laut

Muhd Nur Syam Asmawie (kanan) memeriksa nelayan warga Vietnam yang ditahan kerana mencuri hasil laut negara dalam serbuan berasingan di kawasan perairan negeri ini pada Selasa dan Rabu.
Muhd Nur Syam Asmawie (kanan) memeriksa nelayan warga Vietnam yang ditahan kerana mencuri hasil laut negara dalam serbuan berasingan di kawasan perairan negeri ini pada Selasa dan Rabu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan menahan 19 nelayan warga Vietnam kerana mencuri hasil laut negara dalam serbuan berasingan di kawasan perairan negeri ini pada Selasa dan Rabu.

Kesemua mereka yang berusia antara 16 hingga 60 tahun itu ditahan di atas dua buah bot menerusi rondaan berkala sempena Op Kuda Laut.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, bot pertama ditahan pada jarak 58 batu nautika dari muara Tok Bali, jam 10.23 pagi oleh Kapal Maritim (KPM) Amanah yang diketuai oleh Komander Maritim, Zaid Abu Bakar.

Menurutnya, selepas itu KM Amanah menahan sebuah lagi bot pada jarak 78 batu nautika dari muara Tok Bali pada jam 12.19 tengah malam.

"Pemeriksaan ke atas bot pertama membawa kepada penemuan lima nelayan termasuk seorang tekong.

"Bot kedua pula, kita menahan 14 nelayan termasuk seorang tekong," katanya kepada pemberita di Pengkalan Maritim Tok Bali di sini pada Rabu.

Muhd Nur Syam Asmawie berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis ikan seberat 1.2 tan serta bekalan diesel dianggarkan lebih 21,000 liter.

Katanya, pemeriksaan mendapati kedua-dua bot itu tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985 dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Nilai keseluruhan tangkapan termasuk bot, hasil ikan, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah lebih kurang RM2.5 juta.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985. Mereka juga akan dituduh di bawah serta Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c)," katanya.