Tiada bukti kaitkan vaksin AstraZeneca dengan risiko penggumpalan darah

Datuk Seri Dr Adham Baba - Foto Bernama
Datuk Seri Dr Adham Baba - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada sebarang bukti kukuh yang dapat mengaitkan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca Sdn Bhd ke atas risiko berlakunya kes-kes penggumpalan darah atau 'thromboembolic event'.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkara berkenaan telah dijelaskan oleh syarikat farmaseutikal itu dalam perjumpaan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 17 Mac lalu.

"Terdapat 15 kes 'deep vein thrombosis (DVT)' dan 22 kes 'pulmonary embolism' telah dilaporkan selepas 17 juta orang awam telah menerima vaksin itu di sekitar Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom (UK) setakat 8 Mac lalu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, jumlah kes penggumpalan darah yang dilaporkan juga adalah jauh lebih rendah berbanding dengan purata kes yang dijangka berlaku dalam saiz populasi tersebut.

"Kesimpulan ini juga telah disokong oleh pihak European Medicines Agency (EMA). Oleh itu, adalah dirumuskan bahawa vaksin Covid-19 AstraZeneca adalah selamat digunakan," katanya.

Dr Adham berkata, data keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca yang diperoleh daripada kajian klinikal setakat 4 November 2020 melibatkan 12,000 sukarelawan menunjukkan tiada kesan sampingan teruk dilaporkan.

"Kesan sampingan yang sering dilaporkan adalah sakit pada tempat suntikan, keletihan dan pening kepala serta dilaporkan sebagai 'mild' atau 'moderate'," katanya.

Tambah beliau, data juga menunjukkan kesan sampingan yang dilaporkan berkurang pada suntikan dos kedua berbanding dos pertama.

Artikel Berkaitan:

"Kajian klinikal tersebut juga merumuskan bahawa tiada sebarang isu keselamatan berkenaan kesan ke atas profil dan kandungan darah (termasuk penggumpalan darah) setelah menerima suntikan vaksin ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca yang telah didaftarkan dengan nombor pendaftaran MAL21036009ACZ adalah selamat digunakan di negara ini.

Beliau berkata, KKM sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19 sentiasa terjamin.

"Pelaporan kesan advers susulan imunisasi vaksin Covid-19 boleh dilakukan melalui anggota kesihatan, pelaporan terus kepada NPRA laman sesawang, www.npra.gov.my atau melalui aplikasi MySejahtera bagi kesan advers ringan," katanya.