Pencemaran sungai: Lebih 30 kilang bakal diroboh

Amirudin (tiga dari kiri) hadir sama bagi menyempurnakan Pelancaran Pembukaan Cawangan Gloria Jean's Coffees di Bangunan SSAAS, pada Rabu.
Amirudin (tiga dari kiri) hadir sama bagi menyempurnakan Pelancaran Pembukaan Cawangan Gloria Jean's Coffees di Bangunan SSAAS, pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan meneruskan operasi perobohan kilang yang menyebabkan pencemaran sungai di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan laporan diterima, terdapat lebih 30 kilang di sekitar kawasan Sungai Langat dan Sungai Semenyih telah dikenalpasti berpotensi menyebabkan pencemaran berkenaan.

Beliau berkata, tindakan perobohan ke atas premis terlibat bakal dilaksanakan segera bagi menggelakkan insiden pencemaran sungai berulang.

"Sebelum ini, tindakan sama telah dikenakan ke atas lapan buah kilang di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selepas didapati menyebabkan pencemaran pada sumber air.

"Kerajaan negeri telah melaksanakan proses pemutihan kilang haram dan sudah sampai masanya untuk kita ambil tindakan tegas berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Pembukaan Cawangan Gloria Jean's Coffees di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada Rabu.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak sembilan kes yang berpotensi menyebabkan pencemaran sungai dan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) berjaya dielakkan.

Katanya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah berjaya melakukan pengesanan awal berhubung kes itu dan menghalang pencemaran berkenaan daripada berlaku.

"Kerajaan negeri menyedari masalah ini berterusan bukan hanya disebabkan kilang haram, malah kilang yang sah juga terlibat dalam pencemaran ini.

Artikel Berkaitan:

"Malah, ada juga kes pencemaran berlaku disebabkan kelemahan sistem kumbahan, kecuaian serta tindakan yang disengajakan oleh pihak tertentu," katanya.

Tambahnya, kerajaan Selangor turut melakukan beberapa usaha sebelum ini dalam memastikan isu pencemaran sungai tidak lagi berulang sehingga mengundang kesukaran buat orang ramai.

"Pertamanya, kita sudah menguatkuasakan undang-undang dengan pindaan Enakmen LUAS yang mengenakan hukuman penjara mandatori kepada pesalah.

"Kita juga teruskan rondaan 24 jam dengan menambah pegawai peronda sungai bagi mengatasi permasalahan ini," katanya.