Gerakan mahu buktikan masih relevan, fokus bantu PN menang PRU15

Dominic Lau Hoe Chai - Foto Bernama
Dominic Lau Hoe Chai - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang menyambut ulang tahun ke-53 pada Rabu, berdepan cabaran membuktikan ia masih relevan dalam perkembangan semasa politik tanah air.

Selepas lebih setengah abad penubuhannya, parti politik berbilang bangsa itu yang merupakan bekas parti komponen Barisan Nasional, (BN) “tenggelam” pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dan kini berhasrat bangkit semula menerusi penyertaannya sebagai ahli terbaharu Perikatan Nasional (PN).

Berucap pada majlis sambutan ulang tahun parti itu di Menara PGRM di sini pada Rabu, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menegaskan parti tersebut masih relevan dan mampu memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan kebajikan rakyat.

“Tugas kita (ahli Gerakan) ialah untuk memastikan Gerakan kekal relevan untuk 53 tahun akan datang dan seterusnya,” kata Dominic Lau.

Gerakan ditubuhkan pada Mac 1968 dengan antara pengasasnya ialah Prof Syed Hussein Alatas dan Tun Dr Lim Chong Eu yang kemudian menjadi presiden pertama parti tersebut yang menjadikan usaha membantu rakyat tanpa mengira bangsa sebagai asas perjuangannya.

Dalam ucapannya, Dominic Lau juga berkata, Gerakan komited untuk membantu PN menang dengan majoriti selesa pada PRU15 dan bercita-cita untuk menawan kembali Pulau Pinang yang pernah menjadi kubu kuat parti itu.

“Pulau Pinang akan menjadi negeri tumpuan Gerakan pada PRU15. Pulau Pinang adalah tempat di mana Gerakan bermula, kita mencapai kejayaan di Pulau Pinang, kita jatuh juga di Pulau Pinang dan kita yakin Gerakan akan bangkit semula di Pulau Pinang,” katanya.

Pada PRU14, Gerakan tewas di semua 22 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu pada 23 Jun 2018 parti berkenaan mengumumkan keluar daripada BN. Pada 11 Feb lepas, parti berkenaan secara rasmi diterima menganggotai gabungan PN.

Di GEORGE TOWN, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata parti itu akan memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial selain mengadakan kempen berskala kecil pada PRU15.

“Walaupun kami akan menggunakan pendekatan berbeza, satu perkara yang pasti ialah kami tetap mendengar keluhan rakyat serta akan menyediakan bantuan dan sokongan yang diperlukan,” katanya pada sidang media selepas sambutan ulang tahun parti yang diadakan di pejabat Gerakan di Jalan Macalister.

Di IPOH, Pengerusi Gerakan Perak Datuk See Tean Seng berkata, mesej berkaitan perjuangan parti akan terus diuar-uarkan kepada ahli dan masyarakat.

“Kami sangat berpegang kepada perjuangan ideologi asas kami iaitu demi demokrasi, demi rakyat, keadilan, kestabilan negara dan sangat mengalu-alukan pandangan idea serta sumbangan daripada rakyat untuk kami terus kekal dalam arena politik," katanya. - Bernama