MBK cipta tong sampah kalis monyet

Tong sampah kalis monyet berjaya mengatasi masalah sampah bertaburan di pusat peranginan itu.
Tong sampah kalis monyet berjaya mengatasi masalah sampah bertaburan di pusat peranginan itu.
A
A
A

KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) berjaya menyelesaikan masalah sampah bertaburan di Teluk Cempedak selepas menghasilkan tong sampah khas bagi mengelakkan diselongkar haiwan.

Tong sampah kalis monyet itu dihasilkan Kumpulan Inovatif dan Kreatif dari Jabatan Landskap MBK.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, sebelum ini kawasan Teluk Cempedak menjadi kotor disebabkan kehadiran monyet yang menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan.

Menurutnya, masalah tersebut sudah dapat diatasi menerusi penggunaan tong sampah khas sekali gus menjamin kebersihan Teluk Cempedak sejajar dengan fokusnya untuk menjadikan ia destinasi pantai pilihan pelancong.

"Kalau dulu kita menggunakan tong sampah biasa dan monyet boleh membukanya untuk menyelongkar makanan setiap hari.

"Jadi kami membuat satu inovasi rekaan bagi membolehkan sampah seperti bungkusan sisa makanan yang dibuang pengunjung tidak boleh diselongkar haiwan terbabit.

"Tong sampah khas ini praktikal untuk kegunaan orang ramai dan ia tidak boleh dibuka oleh monyet atau kerana terhalang oleh petak bahagian atas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Seorang pengunjung membuang sisa makanan ke dalam tong sampah khas yang diletakkan di kawasan Teluk Cempedak.
Seorang pengunjung membuang sisa makanan ke dalam tong sampah khas yang diletakkan di kawasan Teluk Cempedak.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebagai langkah permulaan, MBK meletakkan enam tong sampah khas bernilai RM300 itu di setiap satu di sepanjang pesisiran pantai.

Katanya, tong sampah ini mempunyai struktur licin dan tertutup rapi berbanding tong sampah biasa.

"Reka bentuk dinamik dan mesra pengguna juga menambah seri landskap Teluk Cempedak.

"Tong sampah dibuat daripada ‘stainless steel’ menggunakan motif kartun popular," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga kiosk pakaian, Nor Azizah Abdul Manaf, 45, berkata, tiada lagi sampah bertaburan di kawasan Teluk Cempedak selepas tong sampah khas ini diletakkan di pusat peranginan ini.

"Kalau dulu, sampah sarap bertaburan angkara monyet yang menyelongkar tong sampah tetapi hari ini tiada lagi masalah itu.

"Kita amat berpuas hati dengan usaha MBK yang mengatasi masalah sampah bertaburan di ruang bangku dan pesisiran pantai," katanya.