Definisi hutang statutori negara tidak pernah berubah sejak 2009

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Definisi hutang statutori negara tidak pernah berubah sejak 2009, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Jenis-jenis hutang yang dikira di bawah had statutori ini adalah di bawah Akta yang diguna pakai oleh kerajaan sejak 2009 lagi, bukan terjemahan saya seorang," katanya semasa membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-46 menerusi laman Facebook beliau, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul sekali lagi menegaskan had hutang statutori masih belum melepasi paras 60 peratus dan jumlah hutang bagi tiga instrumen terbitan kerajaan pada akhir Disember 2020 adalah 58 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Pada akhir Februari 2021, jumlah hutang negara adalah pada 54 peratus daripada KDNK dan dijangka mencecah 58.5 peratus pada 2021.

"Dalam keadaan ekonomi biasa, kerajaan perlu mengimbangi antara perbelanjaan untuk rakyat dan kadar hutang negara.

"Namun, apabila negara berada dalam krisis ekonomi, maka, keperluan perbelanjaan untuk rakyat akan lebih besar menyebabkan paras hutang juga meningkat," katanya.

Menurutnya, walaupun hutang meningkat berikutan suntikan kerajaan sebanyak RM340 bilion ke dalam ekonomi melalui beberapa siri pakej rangsangan, namun ia masih tidak melepasi had statutori.

Kementerian Kewangan akan terus memantau hutang negara bagi memastikan ia terkawal untuk mengekalkan keyakinan pelabur dan agensi antarabangsa, katanya, sambil menambah tanpa keyakinan mereka rakyat akan terkesan dengan pelbagai kesan negatif seperti kurangnya pewujudan pekerjaan dan peluang perniagaan.

Artikel Berkaitan:

"Hutang ini ada hutang yang baik dan hutang yang buruk. Hutang yang baik adalah seperti pinjaman yang kita ambil untuk tampung kos inisiatif bagi membantu rakyat dan menyelamatkan pekerjaan.

"Pinjaman bagi membangunkan infrstruktur untuk rakyat seperti lebuh raya dan kemudahan awam lain juga adalah contoh hutang yang baik. Apa pula hutang yang buruk? Hutang yang buruk adalah hutang yang tidak membawa sebarang faedah ekonomi atau manfaat untuk rakyat hari ini," kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata, ada sebahagian hutang yang perlu kerajaan urus hari ini disebabkan bebanan hutang legasi.

"Walaupun hutang ini bukan hutang yang dibuat kerajaan hari ini, tetapi ia tetap hutang yang perlu kita uruskan. Kesannya memang besar tetapi kita cuba uruskan," katanya sambil menambah, namun ini bukan alasan kerajaan untuk tidak berbelanja untuk rakyat. - Bernama