X

Kindly register in order to view this article
!

MB jumpa KJ perkemas pendaftaran vaksin di Selangor

Amirudin (dua dari kanan) meninjau sajian berbuka puasa disediakan Gloria Jean's Coffees sempena bulan Ramadan ini.
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Khamis (esok) bagi membincangkan mengenai pendaftaran vaksin Covid-19 di negeri ini.

Menurut Amirudin, pertemuan itu adalah bagi memberi ruang kepada kerajaan Selangor untuk membentangkan beberapa perancangan dalam menggerakkan pendaftaran vaksin berkenaan ke peringkat akar umbi.

Beliau berkata, pihaknya berharap agar pertemuan itu dapat menyelaraskan beberapa usaha khususnya dalam menangani wabak Covid-19 di negeri ini.

"Selain usaha logistik sebagaimana yang dipertanggungjawabkan, usaha untuk promosi dan pendaftaran vaksin menjadi salah satu tanggungjawab kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Pembukaan Cawangan Gloria Jean's Coffees di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), pada Rabu.

Khairy yang juga merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada Isnin lalu memaklumkan kadar pendaftaran vaksinasi Covid-19 masih rendah berbanding pengguna aplikasi MySejahtera disebabkan orang ramai mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima maklum balas daripada rakyat di luar bandar bahawa mereka tidak mengetahui program imunisasi itu yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga akan menggerakkan seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri di peringkat akar umbi bagi membantu mendaftarkan warga emas dan masyarakat dalam program imunisasi tersebut.

"Sebabnya jumlahnya (pendaftaran vaksin) amat kecil berbanding keperluan.

"Selangor mempunyai sekitar 6.4 juta rakyat dan mereka ini semua perlu didaftarkan dalam program berkenaan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!