Jurujual didakwa pecah amanah RM91,000

Tertuduh tidak mengaku salah atas dua tuduhan melakukan pecah amanah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Rabu.
Tertuduh tidak mengaku salah atas dua tuduhan melakukan pecah amanah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang jurujual tidak mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini atas dua tuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM91,900 dalam urusan jual beli kereta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Nor Azizah Embong, 50, dari Kemaman membuat pengakuan itu depan Majistret Nordiana Abd Aziz dan Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang mempunyai dua anak didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang pendahuluan kereta jenis Honda City 1.5V berjumlah RM47,400 untuk kegunaan sendiri pada 10 hingga 14 Julai 2019.

Nor Azizah turut dituduh melakukan pecah amanah terhadap wang pendahuluan kereta jenis Honda HRV 1.8L berjumlah RM44,500 yang diterima dari seorang wanita untuk kegunaan sendiri pada 9 Mei hingga 10 Oktober 2020.

Kedua-dua kesalahan di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di sebuah syarikat automotif di kawasan perindustrian Gong Badak, Kuala Nerus.

Sejurus pengakuan direkodkan, mahkamah kemudian menetapkan 25 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh yang merupakan ibu tunggal diikat jamin sebanyak RM17,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full dan Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Ain Mohd Rani dan Nurul Najmi Adila Mohd Nasir.

Artikel Berkaitan: