Najib usul perintah dapatkan dokumen bank berkaitan 1MDB

Najib hadir untuk perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
Najib hadir untuk perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memfailkan usul pada Rabu supaya Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan perintah bagi mendapatkan dokumen berhubung 1MDB daripada pasukan pendakwaan.

Menerusi notis usul berkenaan, Najib memohon untuk mendapatkan penyata bank bermula 2008 hingga 2020 yang dipercayai ada kaitan dengan ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Datuk Dr Tawfiq Ayman.

Antara dokumen yang diminta ialah Aktis Capital Singapore Limited, Country Groups Securities Public Companies, ACME Time Limited (BVI), Butamba Investment Limited, Central Holding Limited, Rhapsody Limited, Cutting Edge Industries Limited, serta Shearman dan Sterling LLC.

Ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, pihaknya membuat permohonan itu hari ini.

"Pembelaan memohon kepada mahkamah untuk perintah mendapatkan dokumen itu sama ada dalam bentuk cetakan atau 'soft copy'.

"Pembelaan turut memohon perintah untuk mendapatkan rakaman percakapan yang direkodkan, menurut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan syarikat-syarikat tersebut," katanya.

Mengikut afidavit sokongan itu, Najib, 67, mendakwa beberapa syarikat yang disenaraikan itu dipercayai berhubung kait dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan keluarga bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Najib berkata, dokumen itu sangat penting untuk pembelaannya dalam perbicaraan 1MDB yang dikenakan ke atasnya namun ia tidak tersedia untuk pasukan pembelaan sebelum kesnya dimulakan.

Artikel Berkaitan:

"Zeti disenaraikan sebagai saksi dalam perbicaraan 1MDB, maka dokumen bank adalah sangat penting untuk pembelaan saya.

“Pemeriksaan balas Zeti atau saksi lain, berkaitan kredibiliti dan kebebasan beliau sebagai Gabenor Bank Negara terdahulu terutamanya pada masa yang relevan dengan tempoh masa yang berkaitan dengan pertuduhan terhadap saya,” katanya.

Selain penyata bank, Najib juga memohon pernyataan identiti pemilik benefisial syarikat, daftar anggota, daftar pengarah serta surat-menyurat antara bank dan syarikat berkenaan urus niaga, termasuk e-mel, pemindahan telegrafik, borang pengiriman wang, nasihat pembayaran, laporan transaksi, pesanan pembayaran, nasihat kredit dan memo bank.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi mengesahkan pihak pendakwaan telah menerima permohonan itu hari ini.

Sequerah kemudiannya menetapkan 26 Mac ini, untuk sebutan semula bagi permohonan itu.