Usaha persempadanan semula pilihan raya perlu dihentikan: AMK

Akmal Nasir
Akmal Nasir
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa sebarang usaha gerrymandering iaitu perbuatan menentukan persempadanan semula pilihan raya perlu dihentikan.

Ketua AMK, Akmal Nasir dan Setiausahanya, Syukri Razab dalam kenyataan bersama berkata, cadangan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali untuk melaksanakan perkara tersebut disifatkan sebagai keuntungan politik Pas dan sekutunya.

Tambahnya, istilah menguntungkan golongan Melayu-Islam merupakan dakyah politik Khairuddin bagi mengaburi mata rakyat.

“Ini merupakan kenyataan politik yang sama sekali tidak mencerminkan tujuan sebenar persempadanan semula kawasan pilihan raya diadakan.

“Perkara ini hanya sekadar dakyah politik untuk mengaburi mata rakyat kerana hakikatnya gerrymandering memberikan keuntungan politik kepada Pas dan sekutu mereka.

“Agak mendukacitakan apabila Pas yang suatu ketika dulu begitu lantang membantah gerrymandering namun berubah apabila peroleh kuasa dan mencadangkan perkara yang sama,” kata mereka dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Pada Selasa, Khairuddin mencadangkan persempadanan kawasan pilihan raya dilaksanakan sekiranya memenangi majoriti dua per tiga pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam kenyataan itu juga, mereka berkata, Dewan Rakyat telah meluluskan persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 28 Mac 2018.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya boleh diadakan pada tahun 2026 mengikut Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan iaitu julat tempoh mestilah tidak kurang daripada lapan tahun.

Selain itu, AMK juga menjunjung prinsip keadilan dalam demokrasi yang tidak dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut mereka, satu daripada tiga cabang utama negara iaitu Parlimen masih digantung dan gagal berfungsi seperti yang sepatutnya.

“Ini membuka ruang kepada manipulasi sistem demokrasi dan pentadbiran negara yang lebih kritikal serta berpotensi menjerumuskan Malaysia kepada krisis demokrasi yang serius.

“Sudah pasti ini merobek harapan rakyat untuk melihat suatu sistem demokrasi yang telus dan adil di Malaysia selepas ianya dicabuli melalui pengkhianatan terhadap mandat rakyat sewaktu Langkah Sheraton yang lalu,” kata mereka.

Pada masa masa, PN juga diseru menyahut titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membenarkan Parlimen bersidang walaupun dalam tempoh darurat.