Pengkhianat mandat rakyat mudah jadi kerajaan

Chang Lih Kang
Chang Lih Kang
A
A
A

SHAH ALAM - Sistem politik negara ketika ini disifatkan berada di landasan tidak betul kerana parti yang mengkhianati mandat rakyat dengan mudahnya boleh menjadi kerajaan.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang berkata, situasi itu berlaku kerana parti minoriti menguasai kerajaan.

"Kita tidak lagi bersaing dari segi dasar atau kecekapan pentadbiran sebaliknya bersaing dari segi nombor (jumlah) ahli Parlimen yang mengkhianati parti mereka.

"Siapa yang dapat menguasai kumpulan ini iaitu ahli Parlimen yang mengkhianati mandat rakyat, merekalah yang akan menjadi kerajaan dan terus berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi ke-241 bertajuk Realiti Kerjasama PKR-UMNO yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, malam Selasa.

Wacana itu turut menampilkan panelis Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil dan Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub manakala personaliti televisyen, Ismail Adnan selaku moderator.

Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, ketika ini juga ahli Parlimen PKR disasarkan sebagai mangsa untuk mengkhianati parti.

"Sekarang mereka target ahli Parlimen PKR sebab PKR adalah pembangkang dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pesaing terbesar kepada Perdana Menteri hari ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wacana siri ke-241 membincangkan topik Realiti Kerjasama PKR - UMNO, dari kiri Ismail Adnan selaku Moderator, para panelis Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang (dua kiri), Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil dan Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub (kanan) yang berlangsung di Studio Sinar Harian, Seksyen 15, Shah Alam. -Foto: Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Wacana siri ke-241 membincangkan topik Realiti Kerjasama PKR - UMNO, dari kiri Ismail Adnan selaku Moderator, para panelis Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang (dua kiri), Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil dan Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub (kanan) yang berlangsung di Studio Sinar Harian, Seksyen 15, Shah Alam. -Foto: Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Menurut beliau, sekiranya bukan PKR sekalipun, akan ada parti-parti lain yang akan dijadikan mangsa ekoran perkembangan terkini situasi politik berkenaan.

Berikutan itu, Lih Kang menegaskan, sistem politik berkenaan perlu diperbetulkan kerana sepatutnya parti yang menguasai kerajaan perlulah parti majoriti.

"Sekarang parti minoriti yang menguasai kerajaan dan menjadi 'king maker'.

"Ini memberi kecenderungan untuk parti tersebut atau pemimpin parti tersebut untuk membeli atau memikat ahli-ahli Parlimen dari parti lain untuk mengukuhkan kedudukan mereka," katanya.

Justeru itu, katanya, negara juga memerlukan satu penjajaran baharu sistem politik kerana keadaan yang berlaku sekarang jauh berbeza berbanding zaman dahulu.

Jelas beliau, jika dahulu Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya umum sudah boleh menjangkakan kemenangan mereka tetapi ketika ini keadaan sudah berubah.

"Tapi hari ini tidak ada satu parti yang boleh dengan yakinnya atau isytiharkan bahawa mereka akan jadi kerajaan dalam pilihan raya akan datang," katanya.