Kontena bawa sayur segar dari China ditahan

Kontena membawa sayur segar dari China ditahan Maqis di Pelabuhan Tanjung Pelepas, pada Isnin. - Foto Maqis Johor
Kontena membawa sayur segar dari China ditahan Maqis di Pelabuhan Tanjung Pelepas, pada Isnin. - Foto Maqis Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menahan sebuah kontena membawa sayur segar dari China kerana tidak mematuhi syarat import di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di sini pada Isnin.

Pengarahnya, Nur Afifah A Rahman berkata, hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan pegawai penguat kuasa pada jam 11 pagi itu mendapati kontena berkenaan membawa sayur segar sebanyak 16,786 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM45,000.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati maklumat pada dokumen sayur segar tersebut tidak sama dengan label sayur berkenaan iaitu alamat pengimport tidak sama seperti yang diisytiharkan di dalam permit.

"Kesemua sayur segar itu telah ditahan untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Nur Afifah berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

"Jika sabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM75,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Dalam pada itu, Nur Afifah berkata, Maqis menasihati agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di negara ini.

Artikel Berkaitan: