X

Kindly register in order to view this article
!

Pembinaan tanpa pengawasan risikokan pengguna jalan raya

Lokasi kejadian komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras hari ini. -Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Insiden dua kemalangan di tapak pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang mengorbankan nyawa dalam tempoh sebulan membimbangkan pengguna.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat dan Perumahan ( REACH ), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, walaupun kerajaan telah bertindak pantas mengarahkan projek dihentikan sementara, namun pengguna jalan raya sudah tentu memerlukan tindakan lebih daripada itu.

Menurutnya, banyak kes melibatkan kemalangan di tapak-tapak pembinaan yang dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan Dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH).

"Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa selain dari kes-kes kematian di SUKE bulan ini, terdapat sekurang-kurangnya 15 kes kemalangan maut yang melibatkan tempat pekerjaan sejak 1 Disember 2020 di negara kita.

"Antara sebab-sebab kematian adalah dilanggar kren bergerak, digilis jentera, dihimpit kerangka besi, dihimpit kren bergerak, dihempap jentera piling dan tersepit lif. Terdapat satu kes di mana orang awam telah maut akibat dihempap konkrit pada September lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Isnin lalu, tiga pekerja maut dan seorang pemandu kereta cedera parah apabila satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya SUKE berhampiran Persiaran Alam Damai, Cheras.

Sebelum ini, dua wanita maut dan tiga cedera parah apabila van kilang yang dinaiki dihempap sebahagian daripada jejambat yang jatuh akibat dilanggar treler yang membawa jentera berat melibatkan lebuh raya yang sama dekat Desa Tun Razak pada 3 Mac.

Iskandar berkata, terdapat banyak lagi pembinaan yang dijalankan di Lembah Klang sama ada untuk projek lebuh raya atau Mass Rapid Transit (MRT) selain pembinaan kediaman atau komersial yang boleh mengancam keselamatan orang awam.

"Hari ini mereka yang memandu di Jalan Lingkaran Tengah 2 ( MRR2 ) dari Zoo Negara di Hulu Kelang ke Sungai Besi terpaksa melalui beberapa kerja-kerja pembinaan lebuh raya.

"Begitu juga mereka yang memandu di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur dari Jalan Ampang hingga ke Taman Setiawangsa. Mereka menghadapi risiko kerana terpaksa melalui kawasan kerja-kerja pembinaan lebuh raya yang berjalan di atas kepala mereka.

" Ia merupakan pengalaman yang menggerunkan apabila terdapat kren yang mengangkat barang-barang binaan atau konkrit. Walaupun terdapat pekerja yang mengawal namun malang tidak berbau seperti mana kejadian pada Isnin lepas.

" Selain itu laluan trafik kadang kala berubah-ubah. Apabila terdapat kerja hendak dijalankan atau apabila barang pembinaan telah sampai ke tapak maka trafik terpaksa dilencongkan. Terdapat kes di mana papan-papan tanda yang disediakan lambat disedari oleh pemandu yang boleh mengakibatkan kemalangan," katanya.

Katanya, Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994, jabatan seperti Jabatan Kesihatan Dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) dan institut penyelidikan seperti Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan ( NIOSH ) yang khusus untuk menangani isu kesihatan serta keselamatan pekerjaan.

Katanya, ia tiada makna jika tidak dilakukan pemantauan terperinci, tegas, pendakwaan serta hukuman yang menginsafkan.

Selain itu, Iskandar berkata, perancangan di bandar terutamanya di Lembah Klang boleh dipertikaikan apabila kebanyakan projek seolah dilakukan serentak.

"Pembinaan lebuh raya dan MRT ada di mana-mana. Rakyat tidak dapat melihat ia mampu diuruskan dengan baik dan akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung kesusahan.

"Anda tidak perlu memandu jauh di Lembah Klang untuk bertemu dengan kerja-kerja lebuh raya, MRT malah pembetungan.

"Ternyata pelaksanaan secara serentak ini menimbulkan masalah kepada rakyat termasuk kesan kepada alam sekitar. Kami tidak berkata ia tidak perlu tetapi ia perlu diuruskan dengan baik," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!