11 lelaki ceroboh hutan simpan didenda RM5,000

11 tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Alor Setar pada Rabu diiringi pegawai perhutanan kira-kira jam 9.45 pagi.
11 tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Alor Setar pada Rabu diiringi pegawai perhutanan kira-kira jam 9.45 pagi.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki tempatan bersama 10 individu warga Thailand dan Indonesia dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM5,000 kerana menceroboh kawasan hutan simpan Koh Moi, dalam daerah Kubang Pasu, Februari lalu.

Hakim, Murtazadi Amran membuat keputusan berkenaan selepas mendengar rayuan daripada semua tertuduh yang berusia antara 18 hingga 44 tahun.

Murtazadi turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Terdahulu, semua tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama terhadap mereka di Mahkamah Sesyen 2, Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini pada Rabu.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki warga tempatan, Suhaimi Saad, 27, bersama sembilan lelaki warga Thailand iaitu Abdul Rahman Asam, 40, Abdul Paatah Yama, 22, AbdunHalim Ahmad, 23, Alias Jusoh, 19, Haziq Jusuh, 38, Mah Yoo Soh Jehsoh, 44, Nathawut Kuwanth, 19, Nuradin Abdul Rahman, 18 dan Ruskee Masae, 28 serta seorang warga Indonesia, Jasrika Putra, 36 didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 Februari lalu pada jam 4.30 pagi di Kompartmen 11, Hutan Simpan Koh Moi terbabit.

Mereka didakwa menceroboh kawasan itu tanpa memiliki permit memasuki hutan simpanan kekal (Borang 6).

Oleh itu, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah subseksyen 47 (1) (c) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang diterima pakai oleh Negeri Kedah di bawah Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 47 (4) Enakmen yang sama dan dibaca bersama-sama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, kesemua mereka ditahan oleh sepasukan anggota tentera darat yang menjalankan tugas serang dan tangkap (Serkap) pada tarikh dan lokasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan lanjut menemukan 21 guni plastik berwarna putih mengandungi balutan plastik lut sinar berikat gelang getah disyaki daun ketum dengan jumlah berat kira-kira 923 kilogram berhampiran kesemua tertuduh.

Selain itu, 11 motosikal turut ditemui dengan enam daripadanya menggunakan nombor pendaftaran Thailand manakala lima lagi tidak memiliki nombor pendaftaran.

Mereka juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen atau kebenaran untuk memasuki, menduduki atau menjalankan aktiviti dalam hutan simpanan kekal tersebut.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mason Jaro Lenya Barayan di bawah subseksyen 47(1)(c) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.