Kastam rampas minuman keras seludup

Kastam merampas minuman keras yang disembunyikan dalam sebuah MPV selepas ditahan di Forest City, Gelang Patah, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Kastam merampas minuman keras yang disembunyikan dalam sebuah MPV selepas ditahan di Forest City, Gelang Patah, Iskandar Puteri pada Sabtu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras di Forest City, Gelang Patah di sini Sabtu lalu.

Sepasukan anggota Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Gelang Patah menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) pada jam 6.50 petang selepas dilihat dalam keadaan yang mencurigakan.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Ahmad berkata, pada mulanya anggotanya terserempak dengan sebuah MPV yang dipandu laju.

"Setelah berjaya memintas dan menahan kenderaan tersebut, pemeriksaan mendapati terdapat sejumlah minuman keras yang disembunyikan di ruang belakang dan tempat duduk belakang kenderaan itu.

"Minuman keras itu dipercayai belum lulus kastam ditutup dengan kain hitam. Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau memberitahu, nilai keseluruhan barangan yang disita termasuk duti, cukai dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM35,000.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan barang-barang larangan, jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000.

"Denda itu mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sazali memohon kerjasama orang ramai untuk membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut kerana penyeludupan bukan sahaja merugikan negara malah mendatangkan ancaman keselamatan negara.