PPNS tambah pelaburan Nafas RM2 juta

Abdul Rahman (kiri) menyerahkan replika cek berjumlah RM2 juta kepada Anis pada Majlis Penyerahan Tambahan Saham PPNS kepada Nafas di Hotel Seri Pacific pada Selasa.
Abdul Rahman (kiri) menyerahkan replika cek berjumlah RM2 juta kepada Anis pada Majlis Penyerahan Tambahan Saham PPNS kepada Nafas di Hotel Seri Pacific pada Selasa.
A
A
A

PERTUBUHAN Peladang Negeri Selangor (PPNS) menambah pelaburan saham sebanyak RM2 juta kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarahnya, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, dengan penambahan pelaburan saham tersebut, ia secara tidak langsung menjadikan PPNS sebagai pemegang saham terbesar dalam Nafas melibatkan nilai RM13.09 juta daripada jumlah keseluruhan nilai saham iaitu RM65.56 juta.

“Sehingga akhir 31 Disember lalu, jumlah keseluruhan saham kami di Nafas mencecah RM9.91 juta.

“Daripada jumlah pelaburan ini, dividen yang diperoleh adalah berjumlah RM1.18 juta menjadikan jumlah pelaburan saham di Nafas RM11.09 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pasukan Khas Benih Padi Sah dan Padi Asas serta Majlis Penyerahan Tambahan Saham PPNS kepada Nafas di Hotel Seri Pacific, di sini pada Selasa.

Hadir sama menyempurnakan simbolik penyerahan pelaburan berkenaan ialah Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Dr Anis Mahmud.

Dalam pada itu, beliau berkata, PPNS mempunyai keahlian seramai 55,857 orang yang terdiri daripada 14 Pertubuhan Peladang Kawasan di negeri berkenaan dengan jumlah keseluruhan saham yang dilaburkan lebih RM3.78 juta.

“Justeru, saya berharap dengan penambahan saham di Nafas ini, ia mendapat pulangan pelaburan yang kekal positif dengan memberi pulangan lebih tinggi sekali gus memberi manfaat kepada seluruh ahli kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, pihak Ahli Jawatankuasa Pengarah (AJP) Selangor berpendapat saham tersebut perlu ditambah dan dijadikan jumlah paling maksimum kerana kuota yang diberikan kepada PPNS hanya 20 peratus sahaja.

Sekiranya kuota saham yang diberikan lebih daripada itu, beliau berkata, PPNS sanggup membelinya agar keuntungan yang diperoleh dapat dirasai semua ahli Nafas.

“Kami merayu supaya Nafas dapat memberikan satu lagi kuota kepada PPNS supaya ia menarik perhatian PPN lain untuk turut serta dalam menambah saham masing-masing.

“Pemberian kuota tambahan ini adalah sebagai membalas jasa PPNS yang sudah pun melengkapkan 20 peratus kuota yang diberikan Nafas,” katanya.

Sementara itu, Anis turut mengalu-alukan inisiatif PPN di tempat lain untuk mereka menambah pelaburan saham masing-masing.

Menurutnya, langkah tersebut penting kerana pada akhirnya Nafas sendiri dimiliki oleh PPN.

“Kita juga sedang mencari apa lagi model selain daripada pelaburan supaya ia dapat dimanfaatkan oleh petani,” katanya.