Penolong pegawai perubatan tidak mengaku terima suapan

Mohd Zamry mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas 14 pertuduhan menerima rasuah membabitkan wang suapan bernilai hampir RM28,000.
Mohd Zamry mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas 14 pertuduhan menerima rasuah membabitkan wang suapan bernilai hampir RM28,000.
A
A
A

MELAKA - Seorang penolong pegawai perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas 14 pertuduhan menerima rasuah membabitkan wang suapan bernilai hampir RM28,000, tiga tahun lalu.

Mohd Zamry Yazid, 46, yang bertugas di Pejabat Kesihatan Jasin membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan satu hingga 14, Mohd Zamry didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan dengan terlibat dalam permohonan penyediaan sebut harga dan pembekalan peralatan perubatan.

Tertuduh telah memperakukan tuntutan bayaran melalui 14 baucar Arahan Pembayaran bagi pembekalan perubatan berjumlah keseluruhan RM27,901 daripada Syarikat Pella Maju Enterprise milik saudaranya, Norfazilah Yazid.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh antara 9 Oktober 2018 hingga 12 November 2018.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM8,000 bagi kesemua pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan menjaga ibunya yang menghidap strok dan menyara adik perempuan orang kelainan upaya (OKU).

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 21 April depan sebagai sebutan semula kes.