Produk halal tempatan laris di luar negara

Hasanah bersama produk Ana Saji, melangkah jauh sehingga ke Singapura dan Jeddah.
Hasanah bersama produk Ana Saji, melangkah jauh sehingga ke Singapura dan Jeddah.
A
A
A

KUANTAN - Pendapatan ketika mengadakan pameran dan jualan di luar negara tinggi dan menguntungkan kerana memiliki Sijil dan Logo Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).

Usahawan Sejuk Beku Ana Saji, Hasanah Shariff, 48, berkata, ini kerana pelanggan yang melihat produk Malaysia yang tertera sijil dan logo halal Jakim memborong dalam kuantiti yang banyak untuk dijadikan stok makanan mereka.

Menurutnya, produk yang memiliki Sijil Pengesahan Halal dan Logo Halal ini menunjukkan kejayaan seseorang usahawan itu meningkatkan kualiti dan standard produknya.

“Bukan senang nak dapat halal. Kebanyakan usahawan ada Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) setelah itu baru mudah untuk memohon pensijilan halal.

“Kebersihan premis perlu dijaga. Pintu tertutup, tingkap ada jaring, ada perangkap minyak, bebas gangguan haiwan, pekerja bersih dan sebagainya. Halal akan tengok adakah produk kita guna ada ciri halal, minyak, daging dan sebagainya.

“Seorang usahawan bila dia dapat sijil halal bererti dia memang telah menjaga dan berjaya melepasi piawaian yang ditetapkan. Ada agensi yang memandu mereka. Pengalaman saya sendiri melihat pembeli luar negara, mereka tengok label Malaysia dan Halal,” katanya ditemui selepas program Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera (KUB) 2018, di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Beliau berkata, pengguna Malaysia mahu pun luar negara bertambah yakin dengan sesuatu produk kerana untuk mendapat sijil halal bererti usahawan telah mematuhi piawaian kebersihan dan peraturan Islam melalui Garis Panduan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Bersama pelanggan ketika jualan di Singapura.
Bersama pelanggan ketika jualan di Singapura.

Ana Saji mengeluarkan produk berasaskan sejuk beku seperti, karipap, martabak opor Pahang, kuih bakar berperisa ubi, keladi, jagung, pandan dan durian serta pernah mengadakan jualan di Singapura dan Jeddah.

Beliau berkata, kebanyakan daripada mereka adalah penuntut universiti dan perantau yang bekerja di sana.

“Kuih Bakar Pandan adalah produk Ana Saji yang sangat digemari di Singapura. Sebulan tiga kali penghantaran dengan 40 katon sekali hantar untuk pasaran di sana.

“Alhamdulillah dengan adanya Halal, mudah untuk membawa ke luar negara terutamanya negara jiran. Setiap tahun usahawan di Malaysia ada program di sana. Jualan di sana agak tinggi. Ada Halal ada MeSTI, mudah diterima golongan muslim atau bukan,” katanya.

Dalam pada itu beliau menambah, penggunaan Sijil Pengesahan Halal dan Logo Halal ini juga adalah satu sumbangan sosial untuk menyediakan makanan bersih lagi suci kepada masyarakat Malaysia dan Islam keseluruhannya.

"Pada masa yang sama, saya telah menyempurnakan tuntutan fardhu kifayah kepada umat Islam khasnya dalam penyediaan makanan halal.

“InsyaALLAH usahawan yang menceburi industri halal akan meningkatkan produktiviti syarikat ke peringkat global kerana kami sudah dipantau dan mendapat bimbingan oleh pelbagai agensi,” katanya.

Menurutnya, majoriti pengguna di Malaysia yang beragama Islam turut menyumbang kepada keuntungan berganda melalui tarikan jual beli pengguna yang telah yakin dengan produk yang mempunyai Logo Halal.

"Ini sekali gus menjadi lambang dan penanda aras kepercayaan umat Islam luar negara. Juga menyemai rasa hormat dan kepercayaan masyarakat luar terhadap status halal oleh Malaysia," katanya.