Sogok polis RM50, penyeludup minyak didenda RM8,000

Shafie (tengah) dikawal ketat anggota SPRM ketika dibawa keluar dari lokap Mahkamah Kota Bharu menuju ke bilik Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Rabu.
Shafie (tengah) dikawal ketat anggota SPRM ketika dibawa keluar dari lokap Mahkamah Kota Bharu menuju ke bilik Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan seorang lelaki dipercayai penyeludup minyak merasuah polis RM50, Jumaat lalu mengundang padah apabila didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Shafie Mohammad, 53, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zaman turut menjatuhkan hukuman penjara empat bulan jika tertuduh gagal membayar denda, bagaimanapun tertuduh yang bekerja sebagai peniaga menjelaskan denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan suapan wang tunai RM50 kepada Pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kem Galing, Kuantan, Pahang iaitu Asisten Superintendan Yunus Muhammad di tepi Sungai Golok, Kampung Tualang, Tumpat pada jam 12.30 tengah hari pada 19 Mac lalu.

Rasuah sebagai balasan kepadanya untuk membuat sesuatu yang berhubung dengan hal ehwal prinsipnya iaitu melepaskan tertuduh yang ditahan kerana cuba menyeludup minyak diesel ke negara Thailand.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak sampai 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nor Hamizah mencadangkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam bagaimanapun tertuduh merayu dendanya dikurangkan kerana perlu menyara keluarga.

Artikel Berkaitan:

“Saya mohon denda dikurangkan kerana ada anak kecil dan isteri sakit,” katanya.