Buruh ladang tak mengaku dalang judi sabung ayam

Tertuduh, Azmi dikawal penguat kuasa Jabatan Veterinar keluar dari bilik Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganjurkan judi laga ayam.
Tertuduh, Azmi dikawal penguat kuasa Jabatan Veterinar keluar dari bilik Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganjurkan judi laga ayam.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang buruh ladang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan menjadi dalang yang menganjurkan aktiviti perjudian sabung ayam di Kuala Krai

Tertuduh, Azmi Ab Aziz, 51, didakwa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganjurkan aktiviti melibatkan penggunaan ayam yang tertakluk kepada penganiayaan sama ada semasa aktiviti itu sendiri di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Pok Jelak Bedal, Kuala Krai pada jam 4.45 petang pada 12 Mac lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 29(1) (u) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) yang memperuntukkan hukuman denda di antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, Mohd Sharif Sabran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Sharif mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Azmi bagaimanapun merayu jumlah jaminan yang rendah kerana tertuduh menanggung ramai anak yang masih bersekolah.

“Sekarang tertuduh hanya ada RM7,000 sahaja. Jadi, saya mohon satu jaminan yang rendah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan pada 25 April depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan itu.

Media sebelum ini melaporkan, 14 lelaki ditahan ketika leka bermain judi sabung ayam dengan pertaruhan RM500 seekor di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Pok Jelak Bedal pada 12 Mac lalu.

Mereka termasuk seorang lelaki Siam berusia 30 sehingga 74 tahun ditahan pada Op Dadu.