Pemandu wanita mabuk akibatkan kemalangan lima kenderaan

Rakaman pemandu Proton Wira di bawah pengaruh alkohol tular di laman sosial.
Rakaman pemandu Proton Wira di bawah pengaruh alkohol tular di laman sosial.
A
A
A

AMPANG - Seorang wanita warga China ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga mengakibatkan kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Taman Muda di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian pada jam 11 malam itu, wanita berusia 54 tahun memandu Proton Wira telah hilang kawalan, lalu melanggar sebuah kereta jenis Mazda yang diparkir di bahu kiri jalan di Jalan Bunga Cempaka 2 di sini.

"Suspek kemudiannya telah mengundurkan keretanya lalu telah melanggar kereta jenis Honda City yang diparkir di bahu kanan jalan tersebut.

"Akibat perlanggaran itu, kereta Honda City telah teranjak ke hadapan dan melanggar kereta jenis Chevrolet," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mohamad Farouk berkata, suspek seterusnya telah memandu ke arah Jalan Bunga Mawar 5A di sini.

"Suspek sekali lagi telah hilang kawalan lalu melanggar kereta jenis Proton Saga yang diparkir di tepi kanan jalan dan sebatang tiang lampu di tepi kiri jalan," katanya.

Menurutnya, suspek kemudian telah mengundurkan keretanya hingga terhenti di dalam garaj yang terdapat di tepi kiri jalan.

"Ujian kandungan alkohol dalam darah suspek mendapati tahap kandungan alkohol melebihi had yang ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Farouk berkata, wanita itu ditahan reman bermula Rabu sehingga Sabtu bagi membantu siasatan.

"Wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

"Saksi bebas yang menyaksikan kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093," katanya.