Pertingkat kualiti penjawat awam

Ahmad Samsuri (kanan) melepaskan burung puyuh dari jebak se ... ian jalan baharu Kampung Jebak Puyoh, di sini, semalam
Ahmad Samsuri (kanan) melepaskan burung puyuh dari jebak se ... ian jalan baharu Kampung Jebak Puyoh, di sini, semalam
A
A
A

JABI - Kerajaan negeri sedang merangka modul sesuai untuk memberi latihan kepada kakitangan awam kerajaan negeri khususnya yang bertugas di bahagian kaunter perkhidmatan pelanggan agar dapat memberi perkhidmatan terbaik.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau akan melihat sejauh mana pelaksanaan modul itu nanti.

Menurutnya, modul ini bukan tertumpu untuk satu agensi sahaja malah membabitkan jabatan lain termasuk perkhidmatan kaunter pelanggan di pejabat-pejabat daerah dan majlis daerah di negeri ini.

“Inilah yang menjadi ‘frontliner’ (kaunter perkhidmatan pelanggan) berdepan dengan rakyat kerana kelemahan di bahagian ini memberi impak kepada keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan jalan baharu Kampung Jebak Puyoh, dekat Kerandang, di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dan Pegawai Daerah Besut, Rozali Salleh.

Mengulas dakwaan kakitangan bahagian perkhidmatan pelanggan sebuah agensi kerajaan negeri yang tidak memberi perkhidmatan baik kepada pelanggan seperti yang ditular, Ahmad Samsuri berkata, agensi terbabit telah memanggil semua kakitangannya yang bertugas di kaunter perkhidmatan pelanggan untuk berbincang.

“Saya juga telah maklumkan kepada Datuk A Rahman supaya melaksanakan latihan khusus bagi mempertingkat kecekapan kakitangan awam negeri khususnya yang berada di bahagian hadapan untuk memperbaiki kualiti pekhidmatan agensi kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dua hari lepas media melaporkan Ahmad Samsuri memohon maaf terhadap layanan kurang memuaskan kakitangan sebuah agensi kerajaan seperti dipaparkan pada status seorang pengguna Facebook yang tidak berpuas hati terhadap mutu perkhidmatan sebuah agensi kerajaan negeri.

Sementara itu, beliau memuji tindakan proaktif ADUN Jabi yang segera menyelesaikan isu rakyat di kawasannya termasuk membina jalan raya baharu di Kampung Jebak Puyoh yang selama ini hanya tanah merah.

Menurutnya, jalan sepanjang 1.5 kilometer dengan kos RM435,000 itu siap dibina untuk keselesaan dan kemudahan kira-kira 15 keluarga di kampung tersebut.

“Saya berharap rakyat yang mempunyai keperluan seperti jalan dan kemudahan lain supaya mengajukan kepada pihak berkuasa berkaitan atau wakil rakyat kawasan masing-masing untuk diambil tindakan sewajarnya,” katanya.