Patriot gesa sokong KPN hentikan rasuah dalam polis

Mohamed Arshad Raji
Mohamed Arshad Raji
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Patriot Nasional (Patriot) menggesa semua kepimpinan dalam pasukan polis untuk menyokong Ketua Polis Negara (KPN) dalam usaha menghentikan rasuah.

Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji mengatakan mereka menghormati usaha yang dilakukan KPN, Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk menamatkan rasuah dalam pasukan polis.

"Beliau telah membuat langkah berani untuk mengungkap masalah tersebut dengan berbicara kepada media.

"Ini menunjukkan beliau tidak putus asa dan juga keikhlasannya yang ingin membersihkan imej pasukan itu dan dia seharusnya mendapat sokongan penuh," katanya pada Rabu.

Tambahnya, komitmen yang dilakukan Abdul Hamid untuk menamatkan ‘Blue Code Of Silence’ iaitu kesalahan akan ditutup sekiranya kes melibatkan anggota polis dan budaya mengambil wang dari bawah ke atas adalah baik.

"Beliau juga mendakwa ada usaha sekumpulan pegawai polis junior yang dikaitkan dengan kartel untuk mengaibkannya dan memaksanya keluar.

"Tuduhan terhadap bekas Ketua Polis Negara yang tidak disebutkan namanya itu serius dan tidak boleh diabaikan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya tidak mahu budaya 'The Blue Code Of Silent' dalam PDRM'

Pada masa sama, Arshad berkata, Patriot menyeru seluruh kepimpinan pasukan polis termasuk pegawai yang telah bersara untuk berkumpul menyokong usaha murni tersebut.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, semua warganegara termasuk pertubuhan bukan kerajaan yang berfikiran matang turut memberikan sokongan kepada KPN dalam memerangi rasuah di setiap tingkat pasukan dan mengembalikannya ke masa lalu yang gemilang.

Menurutnya, Abdul Hamid mesti diberi hak istimewa untuk memastikan kepimpinan tertinggi polis berada di tangan pegawai yang berintegriti.

"Patriot juga ingin mengingatkan kepada mereka bahawa penempatan pegawai adalah tanggungjawab KPN dan ia diputuskan dengan rundingan bersama ketua jabatan masing-masing.

"Ini adalah masalah dalaman yang tidak boleh ada campur tangan luar, dan tentunya bukan campur tangan daripada ahli politik," katanya.