Baki 40,000 tiket dijual esok

No Image Caption
A
A
A
BAKI 40,000 tiket separuh akhir pertama Piala AFF 2018 antara Malaysia dan Thailand pada Sabtu ini akan dijual secara fizikal bermula 10 pagi esok.

Penjualan tiket akan dilakukan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan di lima outlet Al-Ikhsan Sports (IOI City Mall, The Curve, Wangsa Walk Mall, Plaza Alam Sentral dan NU Sentral) serta dua outlet Football Republic (Suria KLCC dan Sunway Pyramid).

Bagi penjualan di Stadium Nasional, kaunter tiket di Pintu A dan Pintu E akan dibuka dari pukul 10 pagi sehingga 5 petang atau ditutup lebih awal sekiranya 30,000 keping tiket yang diperuntukkan habis terjual namun, jika ada lebihan tiket daripada jumlah tersebut, kaunter tiket di Stadium Nasional akan terus dibuka pada hari Jumaat dan Sabtu.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya berkata setiap individu boleh membeli maksimum lima keping tiket untuk tiket RM30 (terbuka) dan RM5 (kanak-kanak) bagi penjualan di Stadium Nasional.

Sementara 10,000 keping tiket yang diperuntukkan di cawangan Al-Ikhsan dan Football Republic hanya menjual tiket RM30 (terbuka) dan tiada tiket bagi kanak-kanak.

Bagi penyokong yang sudah membeli tiket secara dalam talian, kaunter penebusan tiket akan dibuka pada Khamis dan Jumaat di Pintu D manakala pada hari perlawanan (Sabtu), proses penebusan tiket boleh dilakukan di Pintu D dan Pintu E bermula dari 10 pagi hingga 8 malam.

Tiket RM40 (grandstand) telah habis terjual bersama-sama 40,000 keping tiket secara dalam talian menerusi www.tickethotline.com.my pada Selasa.

FAM berkata tiada kaunter khas di Wisma FAM, Kelana Jaya akan dibuka pada Khamis dan Jumaat atas faktor jangkaan kesesakan lalu lintas di kawasan perumahan berdekatan wisma berkenaan.

Separuh akhir pertama Piala AFF 2018 antara Malaysia dan Thailand akan berlangsung di Stadium Nasional pada Sabtu ini, manakala aksi timbal balik dijadualkan di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Disember.
Artikel Berkaitan:


Dalam satu lagi aksi separuh akhir, menyaksikan Filipina akan mencabar Vietnam di Bacolod pada 2 Disember, sebelum aksi timbal balik di Hanoi pada 6 Disember. - Bernama