PAU 2020: Tingkat semangat perjuangan UMNO

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 penting sempena Sambutan Jubli Intan iaitu 75 Tahun bagi meningkatkan semangat perjuangan parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti tersebut akan terus prihatin, membela dan membantu, menjadi juara serta sentiasa menyuarakan suara rakyat.

Menurutnya, PAU yang diadakan pada 27 dan 28 Mac ini akan mencatat sejarah tersendiri kerana diadakan secara kombinasi iaitu bersemuka dan maya buat pertama kali.

“Secara bersemuka akan dilakukan di Dewan Merdeka, PWTC dan secara maya di 190 UMNO bahagian-bahagian.

“Pada 27 Mac, Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC.

“Manakala, pada 28 Mac, upacara menaikkan bendera di Plaza Merdeka yang disempurnakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri UMNO,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, acara kemuncak pada 28 Mac upacara perasmian PAU adalah Ucapan Dasar oleh Presiden UMNO.

Menurutnya, Ucapan Dasar oleh Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan puteri UMNO akan disiarkan melalui media sosial seperti Facebook Live atau Facebook Watch dan UMNO Online.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahmad, ucapan perbahasan oleh wakil dari negeri-negeri akan disiarkan secara dalaman melalui aplikasi Webex.

“Perbahasan adalah berkaitan ucapan Dasar Ketua Sayap dan Presiden. Ia akan menyentuh antara lain isu berkaitan politik, ekonomi, sosial, agama, antarabangsa dan juga isu semasa seperti Covid-19 dan vaksin,” ujarnya.

Pada 19 Mac, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meluluskan PAU 2020 dan perbincangan bersama Setiausaha Agung UMNO dengan Pengarah MKN Wilayah Persekutuan dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi juga diadakan.

“UMNO akan mematuhi segala SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan. SOP yang berkuatkuasa pada 18 Mac mengenai PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) di Kuala Lumpur dan SOP Meetings Incentives, Conferences dan Exhibitions (MICE) juga dipatuhi.

“Selain itu, anggota keselamatan seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Skuad Sabil juga ditambah. Pemerhati orang awan dan ahli UMNO yang bukan perwakilan juga tidak dibenarkan hadir selain tiada gerai jualan dibenarkan beroperasi,” katanya.

Ahmad menambah, 42 agensi media cetak dan elektronik telah memohon untuk membuat liputan pada perhimpunan tersebut setakat 23 Mac.

"Tiada petugas media dibenarkan untuk berada di dalam dewan persidangan manakala mereka boleh membuat liputan secara maya di Bilik Mawar, Aras 2, PWTC.

“Taklimat kepada petugas media diberikan oleh Pegawai Media Ibu Pejabat UMNO berhubung peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.