Tugasan Covid-19 bukti pengorbanan PDRM

Abdul Hamid
Abdul Hamid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesiapsiagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas dalam norma baharu dan terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19 bukti kesanggupan agensi penguatkuasaan itu mengetepikan keselamatan diri untuk melindungi masyarakat daripada ancaman wabak tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM yang memerah keringat dan bergadai nyawa bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara kekal terpelihara.

"Saya menyanjung tinggi pengorbanan dan amat berbangga dengan semangat setiap warga pasukan dalam memikul amanah kerajaan dan menjadi sandaran harapan masyarakat untuk membendung penularan Covid-19," katanya dalam perutusan sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214, pada Rabu.

Abdul Hamid juga bersyukur kerana majlis sambutan ulang tahun penubuhan PDRM dapat diadakan pada tahun ini, walaupun dalam skala kecil bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan yang digariskan oleh kerajaan.

"Tarikh keramat 25 Mac, mengangkat jasa serta pengorbanan para pesara polis yang telah sekian lama mengabdikan diri, berkhidmat kepada masyarakat, negara dan pasukan.

"Sekalung penghargaan yang tidak terhingga dihadiahkan kepada rakan-rakan pesara, atas sumbangan khidmat bakti yang tidak ternilai harganya," katanya.

Menurutnya, PDRM amat menghargai segala sokongan dan kepercayaan yang telah diberikan kepada pasukan itu selama ini.

"Sesungguhnya, kerjasama berterusan daripada seluruh rakyat amat diperlukan, lebih-lebih lagi dalam usaha kita mencari titik noktah kepada pandemik Covid-19, sekali gus membolehkan kita kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hamid turut mengajak seluruh warga pasukan untuk terus nekad dan membulatkan iltizam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, demi kemaslahatan agama, bangsa dan nusa tercinta.

"Marilah kita memperbaharui sumpah taat setia dan janji kita untuk mempertahankan kedaulatan negara, menjaga kesejahteraan masyarakat dan memelihara integriti pasukan.

"Semoga setiap pengorbanan yang kita curahkan dengan penuh rasa kecintaan, kesungguhan dan keikhlasan pada jalan jihad ini, akan mendapat ganjaran yang setimpal dari Yang Maha Esa," katanya.