Beckham puji impak Solskjaer

Solskjaer
Solskjaer
A
A
A

LEGENDA Manchester United, David Beckham memuji impak yang telah berjaya dibawa oleh Ole Gunnar Solskjaer mengemudi The Red Devils kembali menjadi sebuah pasukan yang digeruni.

Menurutnya, Solskjaer telah melakukan kerja yang bagus di kelab tersebut terutama dalam membawa United kembali berada di kelompok teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Saya melihat banyak kritikan dan ia sebenarnya perkara biasa buat pengurus United jika pasukan mengalami kekalahan dan sebagainya. Sentiasa ada kritikan yang akan dilontarkan peminat terutama kepada pemain, pemilik kelab mahupun pengurus pasukan.

"Solskjaer telah berada lama dalam industri bola sepak dan kritikan adalah perkara biasa buatnya. Dia hanya mendiamkan diri dan memastikan tugasnya selesai. Saya rasa dia telah lakukan perkara yang bagus bersama United," katanya.

Beckham dan Solskjaer pernah berada dalam satu pasukan ketika zaman kegemilangan United pada tahun 1996 sehingga 2003 menjuarai lima kejuaraan EPL dan Liga Juara-Juara pada 1999.

Beckham menjelaskan, dia mengetahui apa yang mampu disumbangkan Solskjaer apatah lagi reputasi pengendali kelahiran Norway itu sangat cemerlang ketika menjadi pemain.

"Impak yang cuba dibawa Solksjaer mula dapat dilihat. Saya berharap ia akan berterusan kerana semua peminat menyayangi Ole, semua orang sukakan Ole dan mahu dia terus mengemudi pasukan. Jadi, jika kritikan dilontarkan kepadanya, saya tahu dia tidak akan ambil kisah," katanya.

Prestasi United ketika di bawah kendalian Solskjaer menyaksikan The Red Devils menampilkan persembahan cemerlang dalam saingan EPL, namun kurang menyerlah dalam kejohanan lain seperti Piala FA, Piala Liga dan liga Europa.

Artikel Berkaitan:

Dalam musim pertamanya sebagai pengurus United, Solskjaer berjaya membawa United mengakhiri saingan liga di kedudukan ketiga liga namun tewas di peringkat separuh akhir dalam Piala FA, Piala Liga dan Liga Europa.

Musim ini juga skripnya seakan sama dengan United ketika ini berada di kedudukan kedua liga, namun telah terkeluar daripada saingan untuk merebut Piala FA, Piala Liga dan Liga Juara-Juara.