Kerjasama PKR, UMNO boleh dilakukan jika beri kebaikan

Mohammad Tawfik Yaakub
Mohammad Tawfik Yaakub
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub menyifatkan kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO boleh dilakukan jika menghasilkan gabungan yang baik dan dapat memberi kebaikan kepada rakyat.

Beliau berkata, walaupun terdapat halangan dalaman daripada kedua-dua parti itu, namun jika pemimpin mempunyai karisma yang tinggi, ia boleh mewujudkan kerjasama politik.

Menurutnya, kebajikan rakyat pada ketika pandemik Covid-19 perlu menjadi keutamaan ahli politik pada masa ini tidak mengira parti.

“Kalau kerjasama politik antara PKR dengan UMNO ini berlaku dan dapat beri kebaikan kepada rakyat, maka kita tidak boleh menghalang perkara tersebut berlaku. Walaupun kita lihat terdapat halangan daripada dalaman.

“Kalau pemimpin itu mempunyai karismatik yang tinggi, kerjasama boleh diwujudkan. Kita lihat 1991, Tun Abdul Razak mewujudkan kerjasama politik antara pemimpin. Maka, ahli-ahli mengikut pemimpin dan berjaya menyatukan orang Melayu.

"Gabungan politik itu berubah, dia fleksibel dan dinamik. Kemana yang boleh dihalatujukan sebenarnya boleh dilihat sebagai untuk menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Wacana Sinar siri ke-241 bertajuk Realiti Kerjasama PKR - UMNO yang disiarkan secara langsung di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis pada program itu, Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang dan Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, semua parti seharusnya perlu bersatu dan bekerjasama dalam satu pasukan dalam mengharungi keadaan pandemik Covid-19 ini.

Katanya, ini kerana, bagi membantu dalam mengawal pandemik dan juga dalam masa sama mengutamakan kebajikan rakyat yang berada dalam kesusahan.

“Kita berada dalam keadaan pandemik Covid-19, kita mesti bekerjasama sebagai satu pasukan. Selepas itu, kita nak bertanding tiga penjuru ke atau sebagainya. Peluang terbuka dalam politik negara.

“Politik tidak menghalang, Perlembagaan tidak menghalang untuk bertanding walau beberapa banyak penjuru pun, tetapi saya melihat dan menilai kehidupan rakyat di luar sana sungguh terkesan. Rakyat melihat apa yang berlaku hari ini.

“Rakyat ramai yang susah. Sampai bila ahli politik nak bertelagah antara satu sama lain. Sehingga menyebabkan rakyat terkorban hidup mereka, keluarga mereka. Adakah hari ini kebajikan rakyat berada dalam satu tahap yang tinggi?” soalnya.

Dalam pada itu, Tawfik turut berpendapat bahawa tiada satu gabungan yang dilihat akan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU15) dengan majoriti yang besar.

Katanya, berdasarkan pemerhatian, tiada gabungan yang boleh dibentuk sebelum PRU disebabkan tiada kematangan politik dalam setiap parti.

“Kalau nak lihat kematangan politik, kita boleh tengok hari ini dalam pandemik, adakah usaha kita untuk bantu barisan hadapan, atau ke depan dalam baiki kelemahan.

“Itu tugas ahli politik. Ahli politik berjiwa besar, tidak boleh duduk pada takuk lama. Tidak akan matang kalau berfikiran sedemikian. Kita hanya melihat kelompongan tetapi tidak membaiki,” ujarnya.