YSIJ, Yayasan Temasek sumbang pelitup muka RM25 juta

Sultan Ibrahim berkenan melihat mesin pelitup muka layan diri di Istana Pasir Pelangi. - Foto ihsan Royal Press Office
Sultan Ibrahim berkenan melihat mesin pelitup muka layan diri di Istana Pasir Pelangi. - Foto ihsan Royal Press Office
A
A
A

JOHOR BAHRU - Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura menyumbangkan 7.5 juta pelitup muka dan 260 mesin pelitup muka layan diri (vending machine) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM25 juta.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, pelitup muka yang boleh dibasuh dan antibakteria itu akan disampaikan kepada masyarakat di semua daerah termasuk murid dan pelajar sekolah secara percuma.

Baginda bertitah, mesin pelitup muka layan diri pula akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik di seluruh daerah secara berperingkat.

“Penempatan lokasi mesin-mesin di semua daerah akan ditentukan oleh kerajaan negeri bersama YSIJ bagi memastikan edaran pelitup muka dapat disampaikan kepada rakyat di seluruh Johor.

“Hasrat saya adalah untuk memastikan pelitup muka ini mudah diperoleh oleh semua rakyat, dalam menjaga kesihatan masing-masing,” titah baginda yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sultan Ibrahim bertitah, rakyat Johor bakal menerima satu pek setiap seorang yang mengandungi dua keping pelitup muka bercirikan antibakteria dan ia boleh dibasuh seterusnya diguna semula sehingga 30 kali bagi setiap keping.

Baginda turut berkenan meluangkan masa melihat mesin pelitup muka layan diri di Istana Pasir Pelangi, dan menyerahkan lebih 620,000 pelitup muka untuk kegunaan murid dan pelajar sekolah kepada Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharuddin Saari.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ, Datuk Avinderjit Singh; Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Fadhly Suffian Laili dan Mejar Cina Datuk David Wong.

Artikel Berkaitan:

Terdapat 1,189 sekolah dengan bilangan murid dan pelajar seramai 628,702 di Johor.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, beliau mewakili warga pendidik menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Johor di atas sumbangan pelitup muka kepada murid dan pelajar sekolah di Johor.

“Baginda sememangnya amat menitikberatkan kesejahteraan dan keselamatan murid di Johor. Pelitup muka ini akan disampaikan kepada semua sekolah di Johor secara berperingkat,” katanya.