X

Kindly register in order to view this article
!

JAIPk galak masjid anjur bazar Ramadan

JAIPk menggalakkan masjid-masjid di Perak menganjurkan bazar Ramadan sebagai alternatif mengurangkan kesesakan bazar Ramadan sedia ada. Gambar kecil: Mohd Yusop
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menggalakkan masjid-masjid di negeri ini menganjurkan bazar Ramadan pada tahun ini sebagai alternatif mengurangkan kesesakan bazar Ramadan sedia ada.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, masjid-masjid yang ingin mengadakan bazar Ramadan perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing supaya operasi perniagaan dapat dijalankan secara sah.

Menurutnya, penganjuran bazar Ramadan itu boleh dibuat di dalam kawasan pekarangan masjid dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Kita serahkan kepada kebijaksanaan dan keupayaan ahli jawatankuasa masjid masing-masing untuk penganjuran bazar Ramadan ini. Pihak JAIPk tiada halangan untuk mereka anjurkan bazar Ramadan ini mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

"Secara tidak langsung usaha ini akan membantu ahli kariah mendapatkan keperluan berbuka puasa, menambah pendapatan peniaga dan pihak masjid juga boleh mengisi tabung sedia ada dengan mengenakan sedikit caj bagi tujuan tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai surat yang dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Masjid JAIPk pada Selasa menggalakkan masjid di negeri ini menganjurkan bazar Ramadan di kawasan pekarangan masing-masing.

Katanya, setakat ini terdapat masjid-masjid di Perak yang menganjurkan Pasar Tani di kawasan pekarangan masjid tetapi bagi bazar Ramadan ia belum pernah dilaksanakan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusop berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif dibuat beberapa masjid dan surau di negeri ini mewujudkan program bank makanan sendiri bagi membantu ahli kariah masing-masing.

Menurutnya, usaha itu dilihat tercetus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan diteruskan sehingga kini kerana melihat terdapat ahli kariah yang berdepan kesukaran.

"JAIPk sangat menghargai usaha dilakukan pihak jawatankuasa masjid dan surau untuk membantu ahli-ahli kariah mereka yang sedang dalam kesusahan.

"Di dalam kariah masing-masing ada yang mempunyai lebih kemampuan untuk menyumbang, jadi apabila masjid melaksanakan program seperti ini lebih banyak akan hulurkan bantuan membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusop berkata, usaha murni tersebut bukan sahaja perlu diteruskan malah masjid-masjid yang belum ada program seumpama itu digalakkan melaksanakannya supaya lebih ramai ahli kariah boleh dibantu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!