Wanita berniaga guna bahasa isyarat secara 'live' tarik perhatian ramai

Izatty menggunakan bahasa isyarat menjual produk secara 'live' di Facebook miliknya tular di laman sosial.
Izatty menggunakan bahasa isyarat menjual produk secara 'live' di Facebook miliknya tular di laman sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Kekurangan diri tidak menjadi penghalang buat seorang wanita yang mengusahakan perniagaan secara atas talian untuk menyara diri dan keluarganya.

Biarpun hanya berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat ketika menjual produknya, namun Noor Izatty Sahrif, 37, masih lincah dan bijak menarik perhatian pembeli sebagaimana insan normal lain.

Ibu kepada tiga anak ini tidak pernah lekang dengan senyuman dan kelihatan tidak kekok ketika sibuk menjual produk dalam talian secara langsung (live) di akaun Facebook Zetty Sufiyyah.

"Sebenarnya susah untuk meyakinkan pelanggan beli produk kita terutama orang normal. Walaupun saya membuat live tetapi orang normal tak faham bahasa isyarat.

"Tetapi kekurangan diri bukan penghalang untuk saya berdikari mencari rezeki. Saya sudah biasa dengan keadaan ini sejak dari kecil. Apa yang penting, saya yakin dengan rezeki ALLAH SWT. Pasti ada untuk saya dan keluarga," katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita lebih lanjut, Izatty berkata, produk makanan yang dijualnya sejak September 2020 adalah biskut, kudapan dan coklat sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

"Bagi menampung perbelanjaan keluarga, saya menjual produk berkenaan dari tahun lepas. Lagipun, saya memang minat berniaga dan niat untuk bantu suami.

"Saya bangga dapat usahakannya sendiri dan bersyukur kerana sentiasa dipertemukan dengan mereka yang baik dan faham dengan kekurangan diri saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Izatty melahirkan rasa syukur kerana video terbabit tular dan terus mendapat perhatian orang ramai.
Izatty melahirkan rasa syukur kerana video terbabit tular dan terus mendapat perhatian orang ramai.

Menurutnya, dia tidak menyangka penjualan produk secara 'live' di Facebook baru-baru ini tular hingga menarik perhatian ramai dan jualannya juga semakin meningkat.

"Alhamdulillah, permintaan semakin baik dan ramai mula mengenali produk ini lepas video saya tular. Memang tidak sangka sambutan begitu baik sekali.

"Terima kasih banyak-banyak kepada mereka yang komen dan kongsi video terbabit. Ramai yang sokong saya. Semoga kita semua sama-sama berusaha mencari rezeki yang halal," katanya.

Baru-baru ini, video 'live' Izatty menjual produk dalam talian menggunakan bahasa isyarat mencuri perhatian netizen yang rata-ratanya menyokong niat murninya menjana pendapatan walaupun kurang upaya.

Antaranya, Amalina Zain,"Saya jumpa ada orang 'tweet' video awak dekat Twitter. Jadi saya cuba cari akaun Facebook awak, semoga bisnes makin maju ya".

Bagi Alonz Norman pula, dia memberi kata-kata semangat kepada Izatty untuk terus maju dan teruskan usaha manakala Azmi Rahman turut memberi cadangan agar meletakkan tanda harga untuk memudahkan insan normal mengetahui harga sesuatu barang