Wanita maut, pasangan warga emas cedera kereta bertembung

Keadaan Perodua Viva dipandu mangsa dalam kemalangan di selekoh Dewan Sivik Kampung Tengkawang di KM15, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris, petang Selasa.
Keadaan Perodua Viva dipandu mangsa dalam kemalangan di selekoh Dewan Sivik Kampung Tengkawang di KM15, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris, petang Selasa.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang wanita maut manakala pasangan warga emas cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di selekoh Dewan Sivik Kampung Tengkawang di Kilometer (KM) 15, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris, di sini petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, dalam kejadian jam 5.15 petang itu, Siti Baizura Mat Hussin, 34, yang memandu kereta Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa yang juga pembantu tadbir Politeknik Hulu Terengganu dari arah tempat kerjanya secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Secara kebetulan, datang sebuah kereta jenis Proton Persona yang dinaiki sepasang suami isteri berusia antara 65 dan 66 tahun dari arah Felda Barat menghala ke Chalok, Setiu.

"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu warga emas itu hanya sempat mengelak dengan rapat ke bahu jalan sebelah kiri, sebelum kenderaan dipandu mangsa merempuh di bahagian hadapan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Adli berkata, akibat rempuhan kuat itu, pasangan suami isteri tersebut mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

"Sementara itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: