Terengganu beri kelonggaran berniaga di lampu isyarat

Seorang penjaja kelihatan berniaga makanan di persimpangan lampu isyarat di pusat bandar Kuala Terengganu pada Selasa.
- FOTO SINAR HARIAN/ NORHASPIDA YATIM
Seorang penjaja kelihatan berniaga makanan di persimpangan lampu isyarat di pusat bandar Kuala Terengganu pada Selasa. - FOTO SINAR HARIAN/ NORHASPIDA YATIM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu masih mengekalkan kelonggaran kepada peniaga untuk menjaja di persimpangan lampu isyarat di negeri ini.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Nurkhuzaini Abdul Rahman bagaimanapun berkata, ia tidak bermaksud kerajaan negeri membiarkan aktiviti perniagaan itu dijalankan tanpa mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerajaan negeri masih mengekalkan kelonggaran berniaga di lampu isyarat, namun kita tidak akan berkompromi dan akan menyerahkan kepada PBT atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya terdapat aduan melibatkan faktor keselamatan.

"Setakat ini ada laporan diterima PBT berkaitan isu keselamatan melibatkan beberapa peniaga dan tindakan telah diambil ke atas mereka.

"Bagaimanapun, kita masih lagi memberi kelonggaran sementara kepada mereka untuk berniaga asalkan mereka mematuhi peraturan demi keselamatan diri dan orang ramai terutama pengguna jalan raya," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Nurkhuzaini berkata, langkah kerajaan negeri itu diambil bagi memberi ruang kepada peniaga yang terkesan dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.

"Kita memahami kesusahan dan kekangan dialami rakyat. Sebab itulah kerajaan akan lihat dari semasa ke semasa berhubung perkara ini. Buat masa ini kita tiada dasar lagi sama ada untuk menyekat atau menghalang mereka berniaga di lampu isyarat.

"Sebarang perkembangan kita akan maklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian pada Selasa mendapati aktiviti menjaja makanan di persimpangan lampu isyarat di Kuala Terengganu masih berjalan seperti biasa.

Penjaja biasanya akan aktif pada waktu tengah hari iaitu ketika pekerja di pejabat sedang rehat serta waktu petang ketika pulang ke rumah.