350 elektrik tiada label keselamatan dirampas

Pegawai penguat kuasa ST dan SIRIM sedang menyemak barangan yang dikenal pasti tiada label keselamatan ketika serbuan di sebuah gudang di Pelabuhan Klang, Selangor.
Pegawai penguat kuasa ST dan SIRIM sedang menyemak barangan yang dikenal pasti tiada label keselamatan ketika serbuan di sebuah gudang di Pelabuhan Klang, Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) serta Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) menyerbu sebuah syarikat dalam talian dan merampas kira-kira 350 barangan elektrik tanpa label keselamatan bernilai hampir RM100,000.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Elmi Anas berkata, pemeriksaan mendapati penjual terbabit menjual barangan elektrik yang tidak mempunyai label keselamatan daripada SIRIM dan ST.

Menurutnya, serbuan pada jam 10.30 pagi Selasa itu dilaksanakan selepas pihaknya menerima aduan mengenai barangan tersebut dan melakukan pemerhatian sejak tiga minggu lalu.

“Peniaga tersebut menjual barangan seperti pressure cooker (periuk tekanan tinggi) dan air fryer (penggoreng kering) secara dalam talian yang gagal ujian SIRIM kepada pelanggan di seluruh Malaysia.

“Serbuan berkenaan berjaya selepas risikan selama tiga minggu bermula daripada maklumat yang diterima iaitu penjualan dijalankan secara dalam talian.

“Dalam serbuan yang sama, pihak kami berjaya mengesan stor penyimpanan yang terletak di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, Selangor dan telah menyita unit barangan dengan nilai dianggarkan hampir RM100,000,” katanya.

Elmi berkata, siasatan akan dijalankan terhadap peniaga berkenaan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Peniaga berkenaan menjual barangan tiada kelulusan SIRIM dan ST serta ada barangan yang mempunyai kelulusan tetapi tidak menampal label tersebut pada barang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Peniaga terlibat boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Operasi tersebut merupakan operasi pertama bagi barangan yang tidak mempunyai label keselamatan tahun ini.