Aris Burger tembusi 400 outlet

Haris (tengah) dan kakitangannya menunjukkan pelbagai produk daging serta ayam sejuk beku keluaran Aris Burger.
Haris (tengah) dan kakitangannya menunjukkan pelbagai produk daging serta ayam sejuk beku keluaran Aris Burger.
A
A
A

WALAUPUN baru dua tahun berada di pasaran, produk sejuk beku jenama Aris Burger bukan sahaja berjaya memasarkan burger di lebih 400 outlet, bahkan telah melakar sejarah sebagai pengeluar burger dan oblong ayam kampung pertama di Malaysia.

Pengiktirafan itu diterima Aris Burger melalui Anugerah Inovasi Industri Kategori Produk Ternakan sempena Konvensyen Pengembangan dan Hari Inovasi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) peringkat Kebangsaan 2018.

Pengarah Urusan Arisprop Holdings Sdn Bhd (APHSB), Datuk Haris Embong berkata, asas kejayaan produk Aris Burger adalah melalui latihan dan bimbingan khas daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta dipantau oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Jadi produk Aris Burger yang dihasilkan adalah mengikut piawaian dan standard yang berkualiti selain menggunakan formulasi campuran rempah yang tersendiri.

Katanya, Aris Burger mempunyai kandungan peratusan daging yang tinggi di dalam setiap kepingan daging yang dikeluarkan sekali gus kandungan lemak dan minyak adalah kurang.

“Apabila dibimbing oleh MARDI dan JPV, mereka akan memantau proses dan tatacara pengeluaran secara teliti. Jadi kita tidak boleh sewenang-wenangnya menukar formulasi atau resipi yang ditetapkan sebab MARDI dan JPV akan sentiasa datang ke kilang untuk membuat pemeriksaan.

“Sebab itu kalau ada orang kata sesetengah burger itu tidak bagus untuk kesihatan, banyak lemak, kolesterol tinggi dan sebagainya.

"Sebenarnya bukan burger yang salah tapi kaedah pembuatannya itu yang tidak betul kerana sesetengah pengeluar yang tidak bertanggungjawab mencampurkan lemak dan tepung yang terlalu banyak, maka sudah pasti ia tidak baik untuk kesihatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Empat jenis burger

Dalam pada itu, Haris berkata, Aris Burger mempunyai empat jenis iaitu burger ayam kampung, burger ayam, burger daging dan burger kambing dengan dua kategori saiz iaitu 60 gram dan 70 gram. Sementara itu, produk daging kisar dan ayam kisar yang dikeluarkan oleh APHSB adalah 100 peratus kandungan daging dan mempunyai saiz pembungkusan 400 gram dan 800 gram.

Selain itu, APHSB turut mengeluarkan burger saiz 100 gram ke atas dan oblong ayam, oblong daging, bebola ayam dan bebola daging.

Walaubagaimana pun, pada masa kini, ia adalah untuk pasaran HORECA iaitu singkatan istilah untuk hotel, restoran dan kafe.

Tambahnya, produk Aris Burger telah pun dijual di lebih 400 outlet pasar raya di seluruh negara termasuk Aeon, Mydin, Hero Hypermarket, Checker’s, CS Brothers, Econsave, Billion, Well-Mart, Sogo, C-Mart, Big Supermart, Fresh Grocer, KK Mart, Family Store, Super seven dan lain-lain.

Haris (tengah) memantau para pekerja menghasilkan kepingan burger di kilang Arisprop Holdings di Gombak, Selangor.
Haris (tengah) memantau para pekerja menghasilkan kepingan burger di kilang Arisprop Holdings di Gombak, Selangor.

Sementara itu, Haris memaklumkan bahawa produk Aris Burger telah mendapat pengiktirafan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dalam tempoh yang singkat kerana sentiasa mengamalkan SOP yang ditetapkan dan juga menjalani proses penyelidikan dan pembangunan.

Ditanya mengenai bagaimana produk Aris Burger boleh mendapat permintaan tinggi dalam tempoh yang singkat, akui Haris, pihaknya tidak berkompromi dengan kualiti setiap burger yang dihasilkan.

Ini kerana akuinya. makanan merupakan punca utama kepada kesihatan atau penyakit.

“Tak untung banyak tak apa, ingat pahala dan ingat dosa kalau menipu, asalkan produk makanan yang dihasilkan oleh APHSB adalah baik dan bagus untuk kesihatan,” tegasnya.

Kongsi Haris, sebelum memasuki pasaran dulu, burger keluaran Aris Burger pernah dihantar ke Jabatan Pemprosesan dan Kejuruteraan Makanan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia untuk blind test.

“Kita buat perbandingan antara burger Aris Burger yang sudah dimasak dengan burger keluaran syarikat X.

“Seramai 200 pelajar terlibat dengan diketuai oleh pensyarah kanan, dan jenama kedua-dua burger dirahsiakan.

“Hasil blind test itu tersebut, sebanyak 55.13 peratus responden memilih burger ayam Aris Burger berbanding dengan burger ayam jenama X sebanyak 44.87 peratus.

“Selain itu sebanyak 66.60 peratus responden juga memilih burger daging Aris Burger berbanding dengan 33.40 peratus burger daging jenama X.

“Burger X ini adalah burger yang dikenali di Malaysia. Sebab itu, kita yakin yang formulasi dan ramuan burger kami boleh memikat hati pelanggan,” jelasnya.