Untung tak dapat, ‘pelaburan’ lesap

Jangan ambil risiko serta gadaikan wang simpanan untuk pulangan yang tidak pasti. - Gambar hiasan 123RF
Jangan ambil risiko serta gadaikan wang simpanan untuk pulangan yang tidak pasti. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MUTAKHIR ini, semakin menjadi-jadi kes penipuan pelaburan tidak wujud yang melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Mengambil contoh kes di Kuantan yang dilaporkan pada 17 Mac lalu, seorang pengawal keselamatan kerugian lebih RM5,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui Facebook.

Mangsa berusia 33 tahun itu tertarik menyertai pelaburan berkenaan yang hanya memerlukan modal RM500 dan akan ‘memperoleh’ keuntungan sehingga RM18,000.

Secara ringkas skim ‘pelaburan' itu memerlukan anda melabur sejumlah wang kepada sindiket yang kononnya menjanjikan pulangan wang jauh lebih tinggi daripada wang yang anda laburkan.

Sikap tamak manusia yang mahu hidup senang-lenang tanpa perlu berusaha keras serta teruja dengan janji manis sindiket sanggup menyerahkan duit tanpa berfikir panjang.

Sindiket penipuan pelaburan tidak wujud menggunakan pelbagai strategi seperti membuat tawaran yang tidak masuk akal dengan pulangan yang sukar dipercayai untuk meyakinkan orang ramai.

Kebanyakan mangsa mungkin mendapat keuntungan pada peringkat awal, namun menyedari mereka ditipu apabila jumlah keuntungan yang dijanjikan tidak dapat dilakukan, selain pautan laman web yang diberikan kepada mangsa telah ditutup.

Dalam kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob sebelum ini memaklumkan mangsa mendapat maklumat mengenai skim pelaburan itu daripada iklan di laman sosial, kemudian menghubungi sindiket secara maya.

Artikel Berkaitan:

Zainuddin berkata, ada sindiket penipuan pelaburan itu ‘menawarkan’ keuntungan yang besar dalam masa yang singkat.

“Mereka ‘menawarkan’ kadar keuntungan pelaburan itu mampu mencapai dua atau tiga kali ganda berbanding pelaburan lain yang berdaftar,” katanya.

Zainuddin berkata, mangsa mudah terpedaya dengan keuntungan lumayan serta pelaburan yang tiada risiko yang dijanjikan oleh sindiket.

“Jika mangsa mahu mengeluarkan semula wang pelaburan, mereka diarah membayar pelbagai yuran antaranya yuran perundangan, perjanjian, insurans dan sebagainya.

“Selepas mangsa membuat pembayaran tersebut, sindiket akan memutuskan hubungan dan gagal dihubungi,” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya mengenalpasti sindiket yang melaksanakan penipuan pelaburan berkonsep forex exchange atau pasaran mata wang, komoditi, penternakan, emas, saham dan wang kripto.

“Sindiket menggunakan konsep pelaburan itu hanya untuk mengelirukan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sindiket berkenaan turut menggunakan keldai akaun bagi menjalankan aktiviti penipuan pelaburan itu.

Beliau berkata, selain itu, ada sindiket penipuan pelaburan yang berani bersemuka dengan mangsa.

“Mereka akan memperkenalkan diri sebagai pengurus, agen dan broker bagi pelaburan berkenaan.

“Kebiasaannya, mereka akan memberi taklimat pelan pelaburan tersebut di lokasi tertentu seperti hotel,” katanya.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerusi kenyataan pada sebuah media baru-baru ini memaklumkan aduan dan pertanyaan pelabur berkaitan skim penipuan meningkat sebanyak 70 peratus pada 2020 berbanding tahun sebelumnya.

SC mendapati modus operandi pengendali skim penipuan telah berubah-ubah sepanjang beberapa tahun ini.

Nasihat penulis, orang ramai harus berhati-hati dengan perkara yang melibatkan wang, jangan mengambil risiko serta menggadaikan wang simpanan anda untuk pulangan yang tiada kepastian.

Masyarakat juga boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti SC, Semak Mule, Senarai Amaran Bank Negara Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum membuat keputusan untuk melabur.

* Ahmad Ismadi Ismail ialah Wartawan Meja Jenayah Sinar Harian