'PDRM bukan institusi yang boleh dipergunakan mana-mana pihak'

Abdul Hamid - Foto Bernama
Abdul Hamid - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sebuah institusi yang memperjuangkan kelompok politik tertentu malah jauh sekali boleh dipergunakan mana-mana pihak, tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau yang menjadi tonggak sang saka biru di bawah dua pentadbiran Perdana Menteri selepas dilantik pada Mei 2019 hingga kini berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang tekanan dalam menggalas tugas serta melaksanakan perubahan dalam pasukan itu.

“Saya bebas melakukan tindakan seperti memperbetulkan pasukan dengan merombak PDRM supaya kerajaan juga akan turut dapat nama baik...apabila kerajaan dapat satu pasukan polis yang dinamik dan tidak (mengamalkan) rasuah, ini sekali gus menguntungkan kerajaan dan orang ramai,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata, tindakan beliau membawa perubahan dalam pasukan termasuk memperjuangkan isu-isu berkaitan penyelewengan, dadah dan salah laku anggotanya adalah bukti pasukan itu telus dalam memerangi jenayah di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu secara tidak langsung dapat mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan polis yang sebelum ini didakwa mudah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu.

“Saya tidak mahu jadi pasukan yang tidak berubah kononnya undang-undang boleh dikompromi contohnya boleh bawa masuk dadah, telefon bimbit dan rokok di dalam lokap selain membiarkan kejadian rogol dalam lokap yang menimbulkan ketakutan masyarakat.

“Saya nak memperoleh kepercayaan dan penghormatan (masyarakat) sebab itu saya hendak buktikan komitmen polis dalam menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan,” katanya.

Sebelum ini, terdapat dakwaan beberapa agensi dalam kerajaan seperti PDRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dijadikan ‘senjata politik’ bagi menjalankan siasatan dengan objektif mengambil tindakan terhadap pemimpin politik pembangkang.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai pencerobohan laman sesawang, Abdul Hamid berkata, pihaknya sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang bentuk kemungkinan pencerobohan terutama menerusi laman sesawang.

Artikel Berkaitan:

“Ada kumpulan (menceroboh laman sesawang kerajaan) yang kami sudah kenal pasti dan juga telah didakwa...siasatan kami mendapati mereka berbuat demikian untuk tujuan suka-suka, bermegah kononnya mahu menunjukkan mereka hebat,” katanya.

Jelasnya lagi, setakat ini serangan di laman sesawang kerajaan baru-baru ini tidak menunjukkan tindakan mereka untuk mendedahkan rahsia kerajaan bagi kepentingan kuasa lain. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: PM ingatkan PDRM tidak menyebelahi mana-mana pihak