Awas! Serangan siber Korea Utara

Malaysia perlu waspada kerana mungkin berdepan ancaman serangan siber oleh Korea Utara. - Foto © Nicolas Asfouri/AFP/Getty
Malaysia perlu waspada kerana mungkin berdepan ancaman serangan siber oleh Korea Utara. - Foto © Nicolas Asfouri/AFP/Getty
A
A
A

HUBUNGAN diplomatik Malaysia dan Korea Utara yang kini berantakan sedikit sebanyak menggusarkan rakyat susulan amaran Konsulat Korea Utara bahawa Malaysia bakal menerima akibat kerana mengusir pulang diplomatnya pada Isnin lalu.

Republik itu mendakwa tindakan kerajaan Malaysia menyerahkan Mun Chol Myong yang didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram ke tangan musuh ketatnya, AS telah menjejaskan kedaulatan Korea Utara dan ia satu ‘tindakan yang tidak boleh dimaafkan’.

Bagi Malaysia, keputusan ekstradisi itu dibuat mengikut lunas undang-undang namun adakah Korea Utara yang kini sedang sakit hati itu akan berani secara terang-terangan melancarkan serangan nuklear terhadap negara atau mungkin terdapat ancaman bentuk lain yang perlu dibimbangi?

Bagi Pensyarah Kanan Hubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Felo Pusat Kajian Keselamatan Siber UKM, Dr Hoo Chiew Ping, beliau tidak menolak kemungkinan negara bakal berdepan ancaman serangan siber oleh Korea Utara.

Menurut Chiew Ping, Malaysia harus mengambil pendekatan berwaspada berikutan pernah berada di bawah ancaman siber Korea Utara apabila IP server milik negara disalahgunakan oleh pihak Korea Utara bagi melancarkan serangan siber.

“Antara insiden serangan siber yang terkenal dilakukan Korea Utara termasuk serangan siber terhadap Sony Pictures di AS dan juga serangan Ransomware WannaCry,” kata Chiew Ping kepada Sinar Harian pada Isnin.

Untuk info, menurut laman web Russian Council, Korea Utara membangunkan tentera siber secara aktif sejak tahun 2000 dan jumlah mereka dianggarkan seramai 6,000 hingga 7,000 orang.

Mereka diakui pakar dari AS dan Kesatuan Eropah sebagai antara tentera siber paling kuat dan efektif di dunia setara dengan tentera siber AS, China, Rusia dan Israel.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sejauh mana ampuhnya sistem keselamatan siber negara sekiranya berlaku serangan seumpama itu, Chiew Ping menyatakan Malaysia sedang memartabatkan keupayaan siber secara menyeluruh selepas memperkenalkan Dasar Keselamatan Siber Nasional (NSCP) oleh agensi di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri ataupun Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

“Susulan Penerbitan Kertas Putih Pertahanan, Kementerian Pertahanan bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah menubuhkan Bahagian Siber yang khas bagi tujuan meningkatkan pertahanan siber negara daripada diserang oleh entiti luar terhadap sistem pertahanan dan keselamatan kita.

“Bahagian Siber ini akan ditingkatkan menjadi Angkatan Siber pada masa akan datang,” katanya lagi.

Diaspora

Sementara itu, Profesor Pengajian Keselamatan di Universiti Naif Arab Riyadh, Arab Saudi, Dr Mohd Mizan Aslam berkata, pada ketika ini kerajaan Malaysia tidak boleh sama sekali memandang rendah apa jua bentuk ancaman yang datang dari Korea Utara.

“Selain diaspora atau jalinan hubungan Korea Utara yang telah lama bertapak di negara ini, daripada satu sudut lain, Korea Utara juga mempunyai mekanisme risikan yang teratur. Ia sedikit sebanyak memberikan kelebihan untuk mereka mendatangkan ancaman kepada negara,” katanya.

Namun penganalisa keselamatan geopolitik itu berpendapat, Korea Utara tidak akan menggunakan keupayaan teknologi nuklear terhadap Malaysia sebaliknya apa yang dibimbangi adalah kapasiti cemerlang republik itu dalam bidang teknologi serta kemampuannya melahirkan penggodam serangan siber.

“Sekiranya berlaku serangan siber, sudah pasti ia membawa kesan buruk kepada negara. Malaysia harus berhati-hati dan bersedia dalam mendepani serangan siber yang boleh menyerang pelbagai sektor termasuk keselamatan, kesihatan dan perbankan,” katanya.

Tambahnya, selain ancaman siber, keberadaan rakyat atau diaspora Korea Utara dan rangkaian industri serta perniagaan yang dimiliki republik itu di negara ini sama ada secara langsung atau menerusi proksi turut boleh menjadi satu bentuk ancaman.

“Mereka ini boleh bertindak sebagai pengumpul data dan maklumat serta boleh digunakan apabila Korea Utara berniat mengganggu gugat keselamatan negara,” katanya.

Menurut Mohd Mizan, kerajaan Malaysia membuat keputusan perlu dan tepat berhubung tindakannya mengekstradisi warga Korea Utara ke AS walaupun ‘tersepit’ di tengah-tengah dalam menjaga hubungan antara AS dan Korea Utara.

“Ketegangan pasti berlaku dalam sesebuah hubungan diplomatik terutama apabila melibatkan kepentingan negara namun, ia boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Pada ketika ini, kerajaan Malaysia dan Korea Utara berlapang dada dan melihat apa yang berlaku dari sudut positif. Ini juga ujian kepada Kementerian Pertahanan dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memastikan hubungan baik dan kekal neutral dengan negara-negara lain di dunia,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik daripada Leiden University, Belanda, Abdul Muein Abadi berkata, rakyat Malaysia tidak perlu gentar dengan Korea Utara kerana negara mempunyai kekuatan sekiranya berdepan ancaman.

Katanya, agensi perisikan, keselamatan dan pertahanan negara juga jangan sama sekali dipandang rendah seperti Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang cukup berpengalaman dengan taktik komunis, bukan sahaja ketika era perang dingin dan darurat, bahkan ketika ancaman keselamatan kontemporari.

“Dengan ancaman terbuka Korea Utara hari ini, pastilah SB akan mengambil langkah lebih bersiap siaga menjangka pelbagai senario termasuklah kemungkinan Korea Utara melakukan taktik seperti sabotaj, pembunuhan bersasar atau pun menyasarkan kemudahan awam strategik di negara kita.

“ATM juga kini memiliki Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan yang bertugas mengkoordinasi semua aspek sistem siber dan elektromagnetik pertahanan,” katanya.

Info: Antara Serangan siber Korea Utara

7 Julai 2009

- Antara serangan siber terawal disyaki dilakukan oleh Korea Utara berlaku terhadap berpuluh laman web Korea Selatan dan agensi kerajaan AS dalam bentuk ‘penafian perkhidmatan’

- Penggodam mencetuskan aliran trafik berat daripada puluhan ribu PC hantu yang kemudian dilumpuhkan oleh perisian malware

24 November 2014

- Penggodam mencuri maklumat rangkaian Sony Pictures Entertainment di AS dan membocorkannya kepada wartawan.

Mereka turut mengugut melakukan keganasan di panggung wayang dan menuntut Sony membatalkan filem komedi bertajuk The Interview berkisar tentang dua rakyat AS yang membunuh Kim Jong-un

12-15 Mei 2017

- Serangan siber seluruh dunia digelar Ransomware WannaCry menyasarkan komputer menggunakan sistem Microsoft Windows dengan melakukan penyulitan data dan menuntut pembayaran tebusan dalam mata wang Bitcoin