Jangan beri tekanan kepada Zii Jia

Zii Jia menunjukkan pingat kejohanan Seluruh England sejurus tiba di KLIA pada Selasa. - Foto Bernama
Zii Jia menunjukkan pingat kejohanan Seluruh England sejurus tiba di KLIA pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SEMUA pihak diingatkan supaya tidak terlalu memberikan tekanan dan meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada juara Seluruh England, Lee Zii Jia kerana dikhuatiri akan menjejaskan prestasinya pada masa akan datang.

Perkara itu disuarakan legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek yang mengharapkan ruang secukupnya dapat diberikan kepada Zii Jia terus berkembang dan meningkatkan prestasinya untuk kejohanan akan datang termasuk membuat persiapan menghadapi Sukan Olimpik di Jepun pada Julai depan.

“Tekanan dan harapan yang terlalu tinggi sebenarnya boleh memberikan kesan besar kepada pemain. Peminat ini nak tahu dia menang saja tanpa tahu kesusahan dan kepayahan yang perlu diharungi dalam setiap perlawanan.

“Namun, tekanan dan harapan tinggi ini sememangnya lumrah kepada setiap pemain apatah lagi Zii Jia yang sudah menang Seluruh England.

"Semua mata akan tertumpu kepadanya dan dia kena cuba menyesuaikan diri dengan keadaan itu," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Zii Jia melakar sejarah tersendiri apabila menjuarai kejohanan Seluruh England menewaskan pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen pada aksi final di Birmingham pada Ahad.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan ramai pihak kembali meletakkan tekanan dan harapan yang tinggi kepada Zii Jia untuk merangkul pingat emas pada Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun pada Julai depan.

Mengulas lanjut, Rashid mengakui Zii Jia telah menampilkan persembahan luar biasa dalam perlawanan tersebut, namun menegaskan pemain berusia 22 tahun itu bakal menghadapi cabaran lebih getir selepas bergelar juara Seluruh England.

Artikel Berkaitan:

“Ia sudah tentu satu pencapaian membanggakan. Siapa sangka Zii Jia akan menang dengan menewaskan beberapa pemain terbaik dunia. Kalau dilihat memang dia sudah berada pada tahap yang bagus kerana mampu bersaing dengan pemain hebat.

“Namun, saya menasihatkan dia supaya dapat meningkatkan prestasinya terutama lebih konsisten, fokus dan berani dalam setiap perlawanan agar dia akan terus dapat memberikan cabaran dalam setiap kejohanan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut melihat keupayaan Zii Jia untuk memberikan impak dalam Sukan Olimpik Tokyo jika mampu terus konsisten dan meningkatkan prestasi sebelum temasya sukan terbesar dunia itu bermula.

“Kalau dah mampu menewaskan pemain hebat dunia di Seluruh England, tidak mustahil dia akan mampu buat kejutan di Olimpik. Peluang itu memang ada. Cuma, jangan bila dah menang ini leka sebab lawan lain akan kaji gaya permainannya.

“Bila dah menang ini, latihan tidak boleh sama macam dulu. Kena lebih lagi sebab lawan akan kaji kelemahan dan kekuatan dia selain dia kena ingat cabaran akan menjadi lebih sukar dan bukannya lebih mudah,” katanya.